Sebahagian daripada wang berjumlah RM30,000 yang diisi dalam beg kertas untuk disogok kepada polis.- Gambar Ihsan : Polis Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki yang cuba menyogok anggota pasukan keselamatan itu sebanyak RM30,000 agar mereka tidak ditahan terhadap kesalahan perjudian online.

Kesemua suspek ditahan semasa serbuan dilakukan ke atas pusat panggilan judi online di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Dang Wangi membuat serbuan di sebuah apartment di Jalan Changkat Perak, di sini, pada jam 3 pagi semalam.

“Dalam serbuan itu, seramai lapan orang yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan serta lima lelaki warga China dicekup.

“Kesemua suspek adalah berumur lingkungan 27 tahun hingga 32 tahun.

“Hasil pemeriksaan di dalam salah sebuah unit yang diduduki kesemua suspek itu, polis telah merampas 108 daun terup, tiga keping kertas catitan angka perjudian, satu kad akses, dua kad sim prabayar Hotlink dan wang tunai berjumlah RM1,213,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, semasa serbuan dilakukan, pasukan BSJ telah didatangi empat orang yang memperkenalkan diri sebagai rakan kepada suspek yang ditangkap.

Katanya, empat saspek itu memberitahu tujuan kehadiran mereka adalah untuk menawarkan wang sebanyak RM30,000 bagi membebaskan kesemua lapan orang yang ditangkap polis.

“Pasukan BSJ IPD Dang Wangi telah menolak tawaran berkenaan dan memberikan amaran kepada suspek agar tidak mengganggu tugas serbuan yang dilakukan.

“Sebaliknya suspek terus menawarkan wang bagi membebaskan kesemua tangkapan sebelum keempat-empat individu menyogok polis terus ditangkap dan merampas berjumlah RM30,000 di dalam beg kertas dan beg silang.

“Siasatan cuba merasuah polis akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Kata beliau, pasukannya juga telah melakukan dua serbuan di sebuah unit lain di apartmen itu pada jam 4 pagi, dan menahan empat lagi lelaki warga China berumur antara 26 hingga 27 tahun.

Menurut Mohamad Zainal, dalam serbuan itu, polis telah merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, empat kad sim Hotlink dan wang tunai RM3,311.

“Kesemua 12 tangkapan ini ditahan untuk siasatan di bawah seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [akta 289] dan seksyen 6 (1) (c) akta imigresen 1959/63 (Akta 155).

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenui judi online boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.