Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah merampas tujuh set bubu naga sekali gus mencatatkan rekod kes pertama melibatkan bubu jenis berkenaan di perairan negeri itu.

KUANTAN –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah merampas tujuh set bubu naga sekali gus mencatatkan rekod kes pertama melibatkan bubu jenis berkenaan di perairan negeri itu.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, bubu naga merupakan peralatan menangkap hasil laut iterlarang yang berjaya dirampas sekitar perairan Sungai Ular pada pukul 10.10 pagi semalam.

Rampasan dibuat oleh pasukan peronda Op Makmur setelah menemui alatan menangkap ikan tersebut semasa rondaan kawasan perairan Sungai Ular .

“Semasa rondaan,  pasukan ronda telah menemui tujuh set berupa peralatan menangkap ikan yang mencurigakan iaitu bubu naga yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap set.

“Kesemua bubu tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.- MalaysiaGazette