Adnan Mat

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Kakitangan dan Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan terus komited dengan agenda untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan kebajikan warga penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kerajaan perlu memberi perhatian serius ke atas empat perkara utama isu dan permasalahan warga kerja di negara ini yang memerlukan penyelesaian segera.

Katanya, masih ramai pekerja di negara ini yang skim gaji mereka berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan negara iaitu RM2,208.

“Justeru, pekerja bawahan tidak mendapat peluang peningkatan kerjaya walaupun mempunyai kemahiran dan keupayaan yang baik.

“Malah, harga rumah yang terlalu tinggi berbanding pendapatan yang diterima sehingga menjejaskan kemampuan untuk memiliki kediaman impian.

“Malahan mekanisme terbaik perlu dicapai bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup terutama di bandar-bandar besar,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Pekerja bertema Pekerja Teras Mendepani Cabaran, esok.

Tambah beliau, kerajaan dan majikan di negara ini dapat memberikan perhatian mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pekerja masing-masing bagi memastikan kemajuan yang dinikmati negara dapat dikongsi bersama.

Jelasnya, walaupun berlaku perubahan yang besar dalam pentadbiran kerajaan ekoran peralihan kuasa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan terakhir pada Februari 2020, penjawat awam ternyata mampu terus menggalas amanah dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam bergerak seperti biasa untuk kesejahteraan rakyat.

Malah katanya, tema tahun ini sangat bersesuaian dengan peranan warga kerja perkhidmatan awam yang sentiasa menjadi tunjang kepada kerajaan dalam mendepani cabaran yang dihadapi negara ketika ini.

“Walaupun tahun ini masih lagi tiada perhimpunan yang besar-besaran dapat diadakan berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang masih lagi membimbangkan, CUEPACS percaya semangat dan jiwa warga pekerja di negara ini terutama penjawat awam lebih besar daripada segala-galanya.

“Justeru perubahan besar dalam pentadbiran kerajaan ekoran peralihan kuasa pada PRU14 lalu, dan terakhir pada Februari 2020, penjawat awam masih mampu menggalas amanat yang dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan rakyat.

“Begitu juga ketika negara dilanda penularan Covid-19 pada awal tahun lalu, pengorbanan penjawat awam terutama petugas di barisan hadapan berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 hingga pernah mencatatkan beberapa kali angkar sifar bagi jangkitan kes tempatan,” ujarnya.

Adnan berkata, sehingga kini penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan kekal komited dan tidak pernah berputus asa bagi memastikan rakyat dapat menikmati hidup mereka seperti biasa di sebalik penularan Covid-19 yang masih tidak berkesudahan.

Ujar beliau, CUEPACS turut menghargai kerjasama dan penghargaan yang diberikan oleh kerajaan yang sentiasa mendengar permintaan dan permasalahan yang dibawakannya.

Menurut Adnan, hubungan CUEPACS dan kerajaan ketika ini berada pada tahap yang baik apabila kerajaan sentiasa terbuka mendengar cadangan dan pandangan daripadanya.

“Keterbukaan ini turut dikongsi oleh pegawai tertinggi kerajaan yang lain seperti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Kharul Adib Abd Rahman dan semua ketua-ketua jabatan,” ujar beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast