Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Covid-19 cases deaths
Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 berterusan, kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal.

Selain itu, ia akan memberi impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Justeru, masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, bermula minggu ke-12 hingga minggu ke-17 pada tahun ini, kes Covid-19 merekodkan tren meningkat dengan jumlah kumulatif kes yang dilaporkan sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 79,881 kes.

Daripada jumlah tersebut, Selangor melaporkan jumlah kes yang tertinggi iaitu sebanyak 22,099 kes (27.7 peratus) diikuti Kuala Lumpur (7,019 kes) dan Putrajaya sebanyak (264 kes)

Ujarnya, nilai Rnought (Rt) terkini menunjukkan peningkatan iaitu 1.14 manakala nilai Rt Selangor adalah 1.20, Kuala Lumpur adalah 1.16 dan Putrajaya adalah 1.0 yang mana ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0.

“Untuk makluman juga, terdapat tujuh buah hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk satu Hospital Universiti di Lembah Klang yang merangkumi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Malah, sebanyak 277 buah katil kritikal (ICU) diperuntukkan bagi pesakit Covid-19 dan pesakit lain bagi negeri-negeri Lembah Klang dan daripada jumlah ini sebanyak 152 katil kritikal (ICU) dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 dan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.

“Menurut statistik yang dilaporkan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini sudah melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya.

Menurut Dr. Noor Hisham, Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus.

Tambah Noor Hisham, pertambahan itu berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu dan 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja.

Katanya, KKM memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit Covid-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah.

Tambah beliau, antara langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh UCC Wilayah Tengah bagi mengatasi kesesakan katil kritikal di Lembah Klang adalah dengan menguruskan katil-katil kritikal di hospital Covid-19 di Lembah Klang secara bersepadu di bawah seliaan UCC.

Menurut Dr. Noor Hisham, kaedah pemantauan dan pengurusan ini didapati lebih efisien agar pesakit-pesakit di hospital Lembah Klang dapat dipindahkan dari satu hospital ke hospital lain yang mempunyai kekosongan dengan lebih berkesan.

“Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil kritikal/ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

“KKM juga telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil kritikal apabila terdapat keperluan mendesak iaitu pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang boleh dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

“Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19, wad-wad biasa yang bersesuaian akan ditukar fungsi kepada katil-katil kritikal (repurpose) bagi memenuhi keperluan yang meningkat,” ujarnya.

Katanya, ketika ini terdapat 80 katil rawatan kritikal telah diwujudkan di sekitar Lembah Klang dan ia akan ditambah mengikut keperluan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap KKM dan pihak² yg berkenaan blh beritahu SPESIFIK tmpt yg dimaksudkan di Lembah Klang bkn hanya sekadar bgtau kwsn sekitar jer..

Comments are closed.