Seorang pekerja mengambil sampel minyak di telaga minyak di Morichal, Venezuela. foto Agensi

SINGAPURA – Harga minyak melonjak dalam dagangan hari ini selepas pasaran optimis dengan lonjakan kukuh dalam permintaan bahan bakar di negara-negara membangun dan China pada separuh kedua tahun ini.

Ia menepis kebimbangan berhubung sekatan pergerakan penuh di India.

Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk bulan Julai meningkat sebanyak AS$0.36 atau 0.5%, kepada AS$ 67.12 setong pada 0045 GMT sementara West Texas Intermediate untuk bulan Jun berada pada AS$ 63.94 setong, meningkat AS$0.36 atau 0.6%.

“Permintaan kukuh di rantau Amerika Utara, Eropah dan China telah memberi prospek cerah pada keseluruhannya,” menurut nota penyelidikan ANZ.

Unjuran itu dibuat walaupun badan industri terkemuka India mendesak pihak berkuasa untuk mengekang kegiatan ekonomi untuk menyelamatkan nyawa ketika negara itu menghadapi lonjakan kes koronavirus yang hampir melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan.

Mengenai bekalan, Organisasi Negara Pengeksport Minyak (OPEC) mengeluarkan 25.17 juta tong sehari pada bulan April, meningkat 100,000 tong berbanding bulan Mac, ketika Iran dan pengeluar lain meningkatkan pengeluaran.

Pengeluaran OPEC meningkat setiap bulan sejak Jun 2020 kecuali bulan Februari.

Iran dan Amerika Syarikat sedang dalam perbincangan untuk mengembalikan semula perjanjian nuklear yang akan menarik semula sekatan Amerika Syarikat sekali gus membolehkan Iran meningkatkan eksport minyaknya. – MalaysiaGazette