Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menunjukkan 'placard' Pentas Rakyat yang menjadi tema Kongres Keadilan 15 pada sidang media khas di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MEI 2021.

PETALING JAYA – Semua perwakilan PKR diberi ruang seluas-luasnya bagi membahaskan apa-apa isu berkaitan parti itu di pentas Kongres Nasional pada 5 Jun depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, apa sahaja boleh dibahaskan  termasuklah penularan klip audio antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita buka kepada perbahasan daripada wakil negeri, pembahas wanita dan pembahasan pemuda kita benar mereka berbahas topik seluas langit dan bumi.

“Dia (perwakilan) nak bahas apa dia bahaslah, lagi pun ini kongres nasional tahunan, mereka patut diberi ruang seluasnya untuk diberi pandangan, teguran, setuju tak setuju, mereka boleh sebut apa sahaja termasuk penyebaran audio Ahmad Zahid dengan Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Menurut Saifuddin, parti pimpinan Anwar itu akan mengadakan kongres selama dua hari secara maya dan fizikal ekoran penularan Covid-19.

Apa yang pasti, tumpuan pastinya kepada ucapan Dasar Presiden yang dijadualkan pada malam 5 Jun nanti, katanya.

Bulan lalu, sebuah rakaman audio berdurasi empat minit didedahkan dikaitkan dengan Ahmad Zahid dan Anwar yang saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan UMNO bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu, Zahid turut mengungkapkan terima kasih kerana Anwar memberikan sokongan moral kepadanya.

Bagaimanapun Zahid dan Anwar kemudian menafikan suara dalam audio berkenaan adalah perbualan mereka dan masing-masing menyatakan hasrat untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, ditanya sama ada kejadian baling kerusi dan baling batu akan berulang atau tidak, Saifuddin memberikan jaminan perkara itu tidak akan berlaku lagi.

“Saya dan pimpinan terus berikan nasihat dan pandangan kepada pimpinan parti kita dapati pada tahun ini perjalanan di peringkat awal di Cabang. Apabila kami tutup mestiat cabang pada 2 Mei, semua cabang telah berjaya menjalankan mesyuarat masing-masing kecuali dua cabang yang memohon diberikan lebih masa.

“Daripada laporan mesyuarat canang, kami dapati di kalangan anggota parti sangat fokus kepada PRU, isu kekuatan parti, isu rakyat dan ia memberikan gambaran awal peranan Kongres Nasional tidak akan berlaku seperti yang telah terjadi sebelum ini.

“Itu keyakinan yang saya boleh kongsikan,” katanya.

Untuk rekod, berlaku pelbagai insiden pada kongres PKR yang diadakan di Melaka, sebelum ini dan antaranya insiden rusuhan pada Kongres Angkatan Muda Keadilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast