Sekumpulan penunggang motosikal didakwa merempit sebelum terlibat dalam kemalangan berhampiran pantau Seagate di sini semalam.

BAYAN LEPAS – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan sekumpulan lelaki merempit sebelum salah seorang daripada mereka terlibat dalam kemalangan di  Lebuh Raya Tun Dr Lim Chiing EU berhampiran pantai Seagate semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA. Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan sekumpulan penunggang motosikal di lokasi kejadian pada jam 10.20 malam.

“Akibat kemalangan tersebut seorang lelaki berusia 18 tahun telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Beberapa motosikal turut terlibat dalam kemalangan tersebut.


“Hasil siasatan mendapati hanya seorang cedera dan dibawa hospital untuk rawatan.

“Bagaimanapun berhubung dakwaan kumpulan berkenaan merempit, tiada saksi setakat ini dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Anbalagan, kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 29 saat menunjukkan lebih 30 buah motosikal dikatakan merempit sebelum bertembung sesama sendiri. – MalaysiaGazette