Ashraf Rosli

KUALA LUMPUR – Kira-kira 9,000 tandatangan dikumpul menerusi petisyen memohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terbuka bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung campur tangan politik dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Petisyen atas talian anjuran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu dibuka bermula semalam dengan sasaran mengumpul kira-kira 500,000 tandatangan sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Putra merafak sembah memohon Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu untuk memperkenan dengan menubuhkan RCI yang dianggotai pegawai profesional dan berintegriti bagi menyiasat dakwaan Abdul Hamid secara telus, adil dan lancar​.

“​Dakwaan yang didedahkan itu telah menimbulkan keraguan, rasa tidak selesa dan ketakutan rakyat apabila PDRM yang merupakan agensi penguatkuasa paling penting dan kritikal bagi negara telah dicemari dengan unsur politik,” kata Ketua Penerangan Putra Malaysia, Ashraf Rosli dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurutnya, Abdul Hamid yang bersara secara rasmi hari ini turut mendakwa, amalan rasuah di kalangan pemimpin politik dengan membeli sokongan Ahli Parlimen dan menggunakan kaedah mengugut​ serta salah guna kuasa ketika berkhidmat berlaku secara berleluasa.

Ini kata beliau, akan memberikan kesan negatif kepada keselamatan, ekonomi negara serta memberi imej buruk di mata masyarakat antarabangsa.

“Keadaan ini juga secara tidak langsung menghakis kesucian sistem demokrasi dalam negara.

“Dengan ini, kami rakyat Malaysia dengan rendah hati merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk ​mempertimbangkan sembah rayuan​ ini bagi kembalikan nilai dan budaya politik yang sihat di negara ini.

“Ia juga bagi membersihkan negara dari pemimpin rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang merugikan masa depan demi mempertahankan negara tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast