Pemilik dan pengunjung sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa di sini dikompaun RM180,000 kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemilik dan pengunjung sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa di sini dikompaun RM180,000 kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB).

Menurut Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur,  Datuk Azman Ayob, ketika serbuan  pada Ahad hingga 1.30 pagi tadi, pemilik premis berkenaan dikenakan kompaun antara RM25,000 hingga RM50,000.

Manakala 31 individu lagi dikompaun RM5,000 kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Peraturan 18 P.U (A) 97/2021 – Menjalankan Aktiviti Terlarang Di Kelab Malam) di premis berkenaan.

“Kompaun dikeluarkan kepada 24 lelaki dan tujuh wanita, semuanya merupakan warga tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ujar Azman, pelbagai jenis arak bernilai lebih kurang RM50,000 turut dirampas di pusat hiburan tersebut kerana melanggar Sek. 76 Akta Eksais 1967.

Jumlah keseluruhan bersama rampasan arak adalah RM230,000 manakala rampasan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam 1967.

Menurutnya, operasi yang seumpama itu akan dipertingkatkan lagi memandangkan peningkatan jumlah kes Covid– 19 yang sangat membimbangkan pada ketika ini.-MalaysiaGazette