RoS Registrar of Society Parti Pejuang Tanahair Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto AFIQ HAMBALI.

KUALA LUMPUR – “Saya sudah terima saman fitnah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau bersedia untuk berdepan tindakan undang-undang Khalid itu di mahkamah.

“Saya telah arahkan peguam saya untuk memberikan respon terhadap tindakan saman itu. Saya akan jumpa dia di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Khalid memberi Dr Mahathir tujuh hari untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang berunsur fitnah bulan lalu.

Khalid turut menuntut penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu menarik balik kenyataan disiarkan sebuah portal berita yang disifatkan tidak benar dan menjejaskan reputasi serta maruahnya selaku bekas KPN.

Pada 16 April lalu, kenyataan Mahathir disiarkan portal berita itu bertajuk “Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib”.

Antara kandungannya yang didakwa memfitnah Khalid adalah “tindakan ke atas Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh Ketua Polis Negara waktu itu Khalid Abu Bakar, dakwa Dr Mahathir Mohamad”.

Pada 22 April lalu, Khalid telah mengarahkan firma guaman Gunaseharan & Linda untuk menghantar notis tuntutan kepada Mahathir bagi menuntut beliau membuat permohonan maaf terbuka secara bertulis dan media sosialnya seperti Facebook, Instagram.

Mahathir juga dikehendaki membuat akujanji tidak mengulangi kenyataan sama secara lisan atau bertulis di mana mana saluran media penyiaran, serta menarik semula kenyataan palsu bersifat fitnah.

Sekiranya gagal memenuhi segala tuntutan ini, Mahathir akan berdepan saman RM10 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Wah! tak sabar nak saka tua kutuk ni penjahanam negara turun naik mahkamah..syabas DS Khalid..

Comments are closed.