Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim dikhabarkan merupakan calon popular untuk jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Sinchew Daily melaporkan, Mazlan mempunyai kelebihan tersendiri walaupun dua pegawai kanan lain iatu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya serta Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din sebelum ini disebut-sebut bakal mengambil alih jawatan kedua tertinggi dalam pasukan polis.

Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara menjadi kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang bersara.

Sumber berkata, Mazlan mempunyai hubungan yang baik dengan istana dan kerajaan juga berharap kewujudan hubungan yang erat antara Ketua Polis Negara dengan timbalannya untuk mengurangkan isu dalaman serta menambah baik persepsi orang ramai terhadap polis.

“Sifat Mazlan yang lebih mesra dengan rakyat justeru menjadikan beliau calon popular untuk Timbalan Ketua Polis Negara,” kata sumber itu.

Katanya, pertukaran jawatan penting akan terus berlaku memandangkan beberapa pegawai kanan Bukit Aman akan bersara bulan ini.

Mereka ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar;  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Zainuddin Yaacob.

Sumber berkata, Ramli yang sebelum ini dikhabar berpeluang dinaikkan pangkat ke jawatan kedua tertinggi dalam polis mungkin ditukarkan untuk menerajui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Sementara itu, China Press melaporkan Abdul Hamid yang bersara daripada Polis Diraja Malaysia bakal menikmati kehidupan sebagai seorang petani di Negeri Sembilan.

Ketika menerima lawatan akhbar itu di kebun sayurnya, Abdul Hamid berkata, kerjaya sebagai polis dan pekebun merupakan sesuatu yang amat diminati beliau.

“Sebagai polis, saya berharap dapat mereformasi pasukan polis dan menghapuskan akar yang menyebabkan pelbagai masalah dalam pasukan.

“Sebagai pekebun, saya dapat meninggalkan dunia yang penuh dengan penipuan dan hipokrit, tetapi menuai daripada hasil tanaman sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette