Pelantar Velesto Naga 7 yang tenggelam susulan kerosakan pada kaki sokongan.

KUALA LUMPUR – Seramai 101 kru yang bertugas di pelantar minyak laut milik Velesto, Naga 7 yang hampir tenggelam di perairan Sarawak  berjaya diselamatkan semalam.

Kesemua kru itu dibawa ke Miri.

ConocoPhillips Sarawak Ltd dalam satu kenyataannya mengesahkan berlaku kerosakan pada salah satu tiang sokongan hingga menyebabkan pelantar itu menyenget kira-kira 10 peratus daripada posisi awal.

Namun, pelantar Naga 7 itu telah tenggelam sepenuhnya ke dalam laut pada jam 7.45 pagi tadi.

Memetik laporan Utusan Borneo, kejadian itu berlaku sekitar pukul 2.45 petang semalam ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja penggerudian (telaga minyak) di blok Salam 3.

Pelantar berkenaan terletak kira-kira 120 batu nautika dari pantai Bintulu dan kira-kira 135 batu nautika dari Miri.

“Pasukan Tindakan Kecemasan kami telah digerakkan (ke Naga 7) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan telah dimaklumkan.

“Keutamaan dan perhatian utama kami adalah keselamatan orang-orang kami dan kami mengesahkan bahawa semua pekerja telah dipindahkan dari Naga 7. Tidak ada kecederaan atau kerosakan persekitaran yang diketahui,” demikian menurut kenyataan itu.

101 kru bertugas di pelantar minyak laut milik Velesto, Naga 7 di perairan Sarawak 7 berjaya diselamatkan dan di bawa ke Miri.

Susulan insiden itu, Pasukan Tindakan Kecemasan ConocoPhillips digerakkan untuk memindahkan semua kru yang berada di atasnya dengan segera.

Bagaimanapun, punca dan nilai kerosakan masih dalam siasatan.

Naga 7 merupakan pelantar jack up dengan kaki julur bebas premium yang berupaya untuk menggerudi sehingga 30,000 kaki dan kadar operasi kedalaman air sejauh 375 kaki. – MalaysiaGazette