Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Sharuddin Omar.

PETALING JAYA – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyuarakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggunakan platform parti politik sendiri dengan menyasarkan sebanyak kira-kira 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Persatuan Veteran ATM, Datuk Sharuddin Omar berkata pihaknya kini dalam usaha menubuhkan sebuah parti politik dinamakan Parti Kemakmuran Negara untuk tujuan itu.

“Kami telah menghantar permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) kira-kira dua bulan lepas dan diharap permohonan kami diluluskan sebelum PRU15,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut Sharuddin, pihaknya mengambil pendirian untuk bertanding pada PRU15 kerana kelewatan kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan veteran terutamanya membabitkan gaji dan pencen serta isu lain yang membabitkan rakyat.

“Kami telah mengenal pasti 50 calon veteran bagi bertanding pada PRU15 depan, calon ini terdiri daripada ketiga-tiga cabang ATM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, enggan mendedahkan kawasan yang bakal ditandingi.

Mengulas jika permohonan untuk menubuhkan parti politik tidak diluluskan ROS, Sharuddin berkata mereka akan bertanding sebagai calon Bebas.

Mengulas lanjut, Sharuddin berkata pihaknya mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang sehaluan dalam perjuangan untuk menjalinkan kerjasama.

Beliau menambah penglibatan mereka dalam arena politik adalah bersifat peribadi dan sukarela serta tidak melibatkan persatuan dan kelab veteran yang ada bagi mematuhi Akta Veteran 2012.- BERNAMA