Antara bahan buangan yang tersangkut pada pukat nelayan di Pantai Jerejak, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang dan membakar bahan buangan di Pulau Jerejak, di sini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan tersebut bukan saja menyalahi undang-undang malah mencemarkan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya telah menerima aduan daripada nelayan tempatan mengatakan perbuatan tersebut telah lama berlaku namun tiada pihak mengambil tindakan bagi mencegahnya daripada berterusan.

“CAP difahamkan kemungkinan pihak yang bertindak sedemikian adalah kalangan pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang beroperasi berhampiran pulau tersebut.

“Selain itu pihak tersebut juga didapati membuang plastik ke dalam laut sehingga menjejaskan aktiviti tangkapan nelayan tempatan.

“Nelayan di kawasan tersebut bukan saja terganggu dengan sangkar ikan yang semakin bertambah, malah kipas bot turut mengalami kerosakan akibat tersangkut pada pelbagai jenis sisa buangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

“Kita bimbang jika masalah ini dibiarkan ia bukan saja boleh mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius tetapi juga akan mengancam hidupan marin dan keselamatan nelayan tempatan pada masa akan datang.

“Selain itu, kita juga meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan mengenai kejadian ini kepada umum dan tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang dikenal pasti melakukan perbuatan tersebut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette