Dr Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Teguran atau rungutan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini, selari dengan diperjuangkan Pas selama ini menerusi Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pelbagai pihak termasuk kerajaan, jika melihat teguran itu demi kebaikan negara walaupun pedas, perlulah dipertimbangkan.

Katanya, boleh jadi juga ramai yang terlepas pandang dokumen tersebut, oleh itu, teguran berkenaan seharusnya mengingatkan semua pihak terhadapnya.

“Dalam Model Kerajaan Teknokrat seperti digagaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penglibatan golongan profesional dalam urusan kepakaran mereka perlu dititikberatkan.

“Pas sentiasa mengusulkan supaya tadbir urus negara dilaksanakan secara profesional, demi mengelakkan berlaku gejala politiking jika dikelolakan sepenuhnya oleh ahli politik, yang sudah tentu mempunyai agenda politik kepartian,” katanya yang dipetik Harakahdaily, hari ini.

Menurut Dr. Mohd Zuhdi, dalam manifesto Malaysia Sejahtera yang dikemukakan Pas bersama Gagasan Sejahtera (GS), teras pertama adalah berkaitan dengan Kerajaan Berintegriti dan Amanah.

Kata beliau, manifesto itu jelas menyebut mengenai usaha mengembalikan sistem pengasingan kuasa dengan memberikan kuasa sewajarnya kepada cabang legislatif, kehakiman dan eksekutif.

“Justeru, saya melihat teguran Abdul Hamid adalah menekankan mengenai profesionalisme dalam cabang eksekutif, mengelakkan berlaku politiking dalam tadbir urus, sistem pengasingan kuasa dan salahguna jentera kerajaan untuk tujuan politik kepartian.

“Meskipun pahit bagi kita menerimanya, tetapi ia selari dengan apa yang diperjuangkan Pas selama ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau melihat apa yang disuarakan Abdul Hamid itu memerlukan usaha yang mesti diterima secara sepakat oleh parti dalam kerajaan dan pembangkang.

Ini kerana katanya, ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 140 yang sememangnya memperuntukan Menteri Dalam Negeri mengetuai Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

“Namun, saya meragui parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai kesungguhan politik untuk meminda Perkara 140, Perlembagaan Persekutuan, kerana sepanjang 22 bulan memerintah, sedetikpun mereka tidak bercakap mengenai keperluan meminda perkara tersebut.

“Jika mereka boleh meyakinkan pembangkang ketika itu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan mengenai had umur mengundi 18 tahun, mengapa berkaitan SPP tidak boleh diusahakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kajian mendalam dilakukan berkaitan penerapan Model Kerajaan Teknokrat dan Sistem Pengasingan Kuasa supaya sesuai dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta berkaitan.

Katanya, teguran bekas Ketua Polis Negara itu perlu dilihat secara positif untuk kerajaan memulakan inisiatif ke arah itu. – MalaysiaGazette