Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan melipatgandakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di ibu negara untuk memastikan warga kota sentiasa berhati-hati dalam menjalankan aktiviti harian.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan lebih banyak kompuan ke atas warga kota selepas ini jika mereka terus mengingkari SOP.

Katanya, polis sedia maklum mengenai angka kes positif di Kuala Lumpur meningkat sekali ganda kepada 419 kes semalam berbanding 206 kes pada 3 Mei lalu.

“Saya harap masyarakat di ibu negara mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan setakat ini sejumlah 261 kompaun dikeluarkan semalam.

“Polis selepas ini tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun lebih banyak lagi sekiranya perlanggaran SOP terus dilakukan oleh warga kota nanti,” katanya, di sini, hari ini

Beliau berkata, sebanyak 89 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 433 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan untuk membuat pemantauan di seluruh ibu negara dan Putrajaya.

“Sepanjang 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020, sebanyak 15,150 kompaun telah dikeluarkan polis dan seramai 4,125 orang telah ditangkap dan sepanjang 2021, sebanyak 9.123 kompaun telah dikeluarkan membabitkan tangkapan 369 orang,” ujarnya.

Beliau yang ditanya mengenai kekeliruan merentasi sempadan daerah yang membabitkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Perderakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula esok, Azmi berkata, pihaknya masih menunggu maklumbalas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazette