KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung campur tangan politik dalam institusi keselamatan sebagai amat serius.
Serentak itu juga, Pemuda UMNO di seluruh negara telah dan akan membuat laporan polis terhadap pendedahan itu.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pendedahan itu bukan calang-calang kes, ia melibatkan kegiatan budaya rasuah dalam amalan lompat parti dan campur tangan yang serius dalam institusi Polis Diraja Malaysia bagi tujuan politik.
“Pemuda UMNO Malaysia di seluruh negara telah membuat laporan polis terhadap pendedahan bekas Ketua Polis Negara ini.
“Dakwaan yang didedahkan amat serius kerana bukan sahaja dibuat oleh bekas kepimpinan tertinggi agensi keselamatan negara, bahkan melibatkan aspek integriti kepimpinan kerajaan dan kedaulatan negara,” katanya yang dipetik kenyataan dalam Facebooknya, hari ini.
Dr. Asyraf Wajdi berharap, kertas siasatan dibuka segera.
Kata beliau, keterlibatan agensi lain terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dan memanggil bekas Ketua Polis Negara adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dipersepsikan dengan imej kebankrapan integriti sehingga menjejaskan keyakinan rakyat dan kepercayaan pelabur. – MalaysiaGazette
















