Kerajaan Indonesia memutuskan untuk melarang mudik iaitu pergerakan besar-besaran pulang ke kampung halaman menjelang Aidilfitri bermula hari ini hingga 17 Mei.

JAKARTA – Kerajaan Indonesia memutuskan untuk melarang mudik iaitu pergerakan besar-besaran pulang ke kampung halaman menjelang Aidilfitri bermula hari ini hingga 17 Mei.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pasukan Petugas Nasional COVID-19, langkah itu bertujuan membendung penularan COVID-19 yang menyaksikan lonjakan jangkitan selepas cuti umum utama sebelum ini.

Sepanjang tempoh larangan mudik, polis akan mengadakan sekatan jalan raya di jalan-jalan utama manakala perjalanan udara, kereta api, dan laut juga akan digantung.

Bagaimanapun, pengecualian diberi kepada perjalanan kecemasan dan rasmi.

Ini tahun kedua larangan mudik dilaksanakan selepas pertama kali diperkenalkan tahun lalu.

Sebelum pandemik ini, setiap tahun tradisi mudik akan menyaksikan sekitar 30 juta warga Indonesia pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy dipetik oleh media tempatan berkata terdapat beberapa pengecualian untuk kenderaan dan syarat tertentu.

“Pegawai berpangkat tinggi, pegawai pasukan petugas COVID-19, pegawai operasi pemerintah, Angkatan Tentera Darat, pasukan Polis dan petugas tol dibenarkan melakukan perjalanan ketika bertugas.

“Mereka mesti menunjukkan surat kebenaran yang ditandatangani majikan atau surat daripada ketua kampung untuk mereka yang mempunyai urusan penting,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast