Wakil Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Zainal Abidin Hassan membuang undi bagi Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2021-2025 pada Kongres Tahunan FAM ke-57 2021 di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 13 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan mengakui kesilapan daripada barisan pemain yang memberi dua gol mudah kepada Sabah FC pada babak pertama menghukum mereka sehingga tamat perlawanan apabila hanya berjaya mendapatkan satu gol tunggal daripada Fakhrullah Rosli.

Jelas beliau, kelalaian pemain yang memberikan gol awal kepada Sabah walaupun sehingga sat-saat akhir cuba bangkit namun agak sukar bangkit kerana sudah ketinggalan 2-0 di babak pertama.

“Kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku, memang bukan senang nak kejar pada saat Sabah sedang bersemangat tinggi, tetapi apa-apa pun, saya tetap berbangga dengan pemain yang tidak berputus asa berusaha hingga ke saat akhir.

“Pengajaran yang bagus, dan saya tidak mahu lagi kesilapan seperti ini berlaku kerana kita tidak boleh terus undur ke belakang, memang kena cepat bangkit”, jelasnya.

Aksi di Stadium Likas menyaksikan Sabah FC meraih tiga mata selepas menundukkan Melaka United FC dengan keputusan 3-1 meletakkan pelawat ketika ini di tangga kedua tercorot.

Keputusan lain dalam perlawanan semalam menyaksikan Perak FC akhirnya meraih tiga mata menewaskan PJ City FC 0-1 selepas kemarau kemenangan dalam empat aksi terdahulu.

Sri Pahang dan Selangor FC pula seri 2-2 di Stadium Darul Makmur. – MalaysiaGazette