Putra dilancarkan pada 28 September 2019 di padang Kampung Bharu, yang merupakan nadi Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

PADA 8 Mei 2021 bersamaan 26 Ramadan 1442H, genaplah usia dua tahun Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di persada politik negara.

Kelahiran Putra dilancarkan pada 28 September 2019 di padang Kampung Bharu, yang merupakan nadi Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur yang penuh sejarah dan nostalgia kebangkitan umat Melayu dalam kerangka perjuangan bangsa menuntut kemerdekaan dan menentang Malayan Union.

Sempena pelancaran Putra dilafazkan oleh Presiden dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) penaja dengan kata-kata La’ila ha’illallah dengan menyebut nama Allah, bahawasanya lahirlah pada 8 Mei 2019, parti Putra yang akan menggalas kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu Islam yang mula lesu dengan menang sorak kampung tergadai oleh parti-parti Melayu Islam sebelum ini yang masih berkokok, namun bumi ketuanan Melayu pribumi terus terancam.

Pesanan nenek moyang, bila bunyi guruh di langit sediakanlah payung sebelum hujan. Maka, Putra lahir sebagai wadah pribumi baru untuk menongkah arus agar bumi Malaysia yang asalnya persekutuan Tanah Melayu tidak menjadi milik orang dan Melayu pribuminya tidak mengemis di bumi sendiri seperti umat Palestin atau Temasek yang menjadi Singapura.

Setelah 63 tahun merdeka, Melayu pribumi ibarat telur di hujung tanduk. Kejayaan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh nenek moyang dinikmati orang luar dan bukan bangsa majoriti yang menjadi ketuanan asal bumi Malaysia. Tidak perlulah di bentang statistik atau fakta pembahagian kek ekonomi negara yang tidak adil dan makin melebar jurangnya.

Lihatlah siapa pemilik bangunan pencakar langit, gedung, lot kedai yang mahal di lokasi strategik serta pangsapuri mewah dan kediaman disertakan kolam renang dan pelbagai nikmat kemudahan. Jika ada Melayu pribumi memilikinya, boleh dibilang dengan jari. Itu pun di kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan, segelintir tokoh profesional dan korporat termasuk tokoh politik yang pintar mencari peluang dengan pengaruh dan kuasa yang ada di tangan mereka.

Manakala majoriti Melayu pribumi hanya mampu duduk dan mengharap rumah pangsapuri kos rendah, rumah mampu milik atau rumah PPRT.

Pribumi Melayu Islam mempunyai pantang larang dari segi agama Islam dan berbeza dengan kaum bukan pribumi yang semuanya halal. Tidak ada yang haram bagi mereka. Industri hiburan, judi, minuman keras semuanya halal bagi mereka dan tidak sedikit menghalalkan apa sahaja peraturan dan undang-undang. Cuba bayang putaran wang di kalangan kaum bukan pribumi. Dasar-dasar afirmatif untuk membantu kaum pribumi sekadar setitik air dalam lautan.

Sedih untuk mencerita keadaan yang sebenarnya, manakala pemimpin Melayu Islam terus berkokok dan beretorik dengan laungan “hidup Melayu” dan “Allahuakbar” tapi akhirnya sekadar untuk perut sendiri. Sebelum ini, diyakini bahawa kuasa politik yang ada pada pribumi, Melayu Islam akan menjamin survival pribumi, walaupun ekonomi dikuasai oleh bukan pribumi. Namun, kepercayaan mitos ini mula meleset kerana kehilangan kekuatan ekonomi sesuatu bangsa dengan mudah kehilangan kuasa politik.

Barisan kepimpinan Putra yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan profesion.

Proses ini sedang berlaku dengan cepat dan dalam tempoh 63 tahun merdeka, lihat apa yang telah berlaku. Puncanya adalah apabila kepimpinan Melayu Islam hilang jati diri dan roh patriotisme dan bertukar kepada roh mengejar kebendaan dan pangkat sehingga ada yang jual maruah dan harga diri bangsa sendiri. Tepatlah menang sorak kampung tergadai. Tanah Rezab Melayu terus hilang dan terhakis, begitu juga Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dinyahkan sesuka hati.

Dasar-dasar menjadi tunggang terbalik sehingga Fasal 151, 152 dan 153 dalam Perlembagaan hanya menjadi sekadar hiasan untuk retorik. Ini kerana pemimpin Melayu Islam itu sendirilah membuka ruang Dasar Liberal iaitu Dasar Kesamarataan mula menjadi kenyataan atas alasan kononnya dunia sudah berubah dan kenalah terima naratif baru ini, walaupun majoriti pribumi Islam Melayu, masih lagi kais pagi makan pagi, kais petang untuk bayar hutang semalam.

Matlamat penyusunan semula masyarakat pelbagai kaum, supaya adil pembahagian kek ekonomi negara sudah tidak kedengaran lagi. Yang dihebohkan ialah pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, tapi pembahagian yang adil kek ekonomi negara antara kaum sudah dilupakan atau dilupuskan. Inilah puncanya denyut nadi pewaris bangsa yang masih ada jiwa patriotisme tampil menubuhkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia sebagai tekad kesinambungan perjuangan demi survival anak cucu sebelum nasi menjadi bubur atau menangis air mata darah tidak berguna lagi.

Selain Melayu pribumi ibarat telur dihujung tanduk, Malaysia juga ibarat api dalam sekam. Adakah boleh diterjemahkan dalam situasi sekarang dengan pelbagai masalah dan ancaman, Malaysia sedang terbakar? Asap tebal sudah kelihatan cuma cahaya api baru hendak kelihatan iaitu api yang boleh membakar negara Malaysia dari sebuah negara yang dulu diagung-agungkan sebagai negara Islam contoh dan negara membangun yang paling hebat.

Laungan ini sudah bertukar menjadi negara hodoh dan memalukan. Mandat rakyat pada PRU-14 adalah kepada Pakatan Harapan (PH). Keruntuhan PH selepas 22 bulan dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN), walaupun disebut kerajaan tebuk atap dan dari segi moral politik ianya amat jelek. Namun, Melayu Islam dan pribumi menaruh harapan yang tinggi. Cara tidak halal atau tidak betul boleh dipejamkan mata dan ditutup telinga, asalkan ada perubahan dan tindakan yang seakan-akan betul dan meyakinkan.

Sudah lebih setahun PN mentadbir, alih-alih macam hikayat Pak Pandir dan ianya amat memalukan. Rupa-rupanya yang dikejar adalah pangkat, jawatan, kebendaan, bukannya ketegasan melaksanakan agenda Melayu Islam dan kepentingan nasional.

Samalah juga, harapkan pegar tapi pegar makan padi. Ianya sifir 2 x 5 dan 5 x 2. Malah, zaman PN nampaknya makin teruk. Laungan “Hidup Melayu” hanya pura-pura dan laungan takbir “Allahuakbar” sekadar untuk alat politik semata-mata. Mana kata-kata “saya Melayu dulu kemudian rakyat Malaysia” dan “mana janji menuju syurga”? Ini betul-betul mempermainkan sentimen Melayu dan Islam ibarat kata pemimpin jenis hipokrit dan munafik.

Malaysia sebuah negara indah khabar dari rupa. Negara lain juga menghadapi ancaman Covid-19, tapi Parlimen boleh bersidang. DYMM telah menitahkan Parlimen boleh bersidang walaupun dalam darurat, tapi menyerahkan kepada Kabinet untuk menentu tarikh dan masa bersidang. Perdana Menteri dan Kabinet membisu seribu bahasa serta mengeluarkan kenyataan tiada sidang Parlimen sehingga tempoh darurat tamat.

Titah DYMM YDP Agong dipandang rendah dan remeh. Segala perbelanjaan wang negara atau wang rakyat diguna tanpa kelulusan serta tanpa semak dan imbang dari Dewan Rakyat. Sistem pengasingan kuasa sudah dicaca marba. Pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM5 bilion amat memeranjatkan atas alasan membiayai pembelian vaksin untuk Covid-19. Bagaimana wang ini diurus?

Sebelum ini, bukankah sudah diperuntukan di bawah Belanjawan 2020? Terbaru pembelian Vaksin Astra Zeneca menjadi tanda tanya kerana pihak EU telah menyaman pihak pengeluar Astra Zeneca atas alasan beberapa sebab yang meragukan akan keselamatan pengunaannya. Sebab itu kerajaan membuat keputusan penerimaan Vaksin Astra Zeneca adalah bersifat sukarela dan tiada paksaan.

Berapa banyak wang negara sudah diguna untuk membeli vaksin tersebut dan siapa pula yang mendapat untung atau komisen daripadanya? Manakala rakyat yang disuntik vaksin Astra Zeneca, jika berlaku apa-apa musibah, kerajaan tidak bertanggungjawab kerana ianya atas dasar sukarela rakyat. Rakyat dipersendakan, tapi rakyat tidak bodoh.

Terkini, negara mempunyai 1001 macam isu yang memalukan, menyedihkan dan termasuk yang menyakitkan hati rakyat. Hutang negara sudah melebihi RM1 trilion. Jumlah Menteri Kabinet pula adalah yang terbesar dalam dunia walaupun rakyat hanya 37 juta. Lebih hebat dari kabinet negara China dan India, walaupun rakyat mereka melebihi 1 bilion orang. Malaysia mempunyai minyak, gas, pelbagai bahan galian, kayu kayan, eksport kelapa sawit dan getah terbesar di dunia. Tiada malapetaka alam setakat ini, namun kehidupan rakyat amat memalukan.

Norway, Finland, Sweden, Arab Saudi (hanya ada minyak) dapat memberi pendidikan, kesihatan dan pengangkutan percuma kepada rakyat walaupun hasil negara berkenaan tidak sehebat negara kita di Malaysia. Malu, memalukan.

Cerita penyalahgunaan kuasa kakitangan kerajaan dan ahli politik terbongkar saban hari dengan jumlah yang besar. Terdapat di kalangan penguatkuasa seperti polis dan SPRM pun terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.

Tahniah kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayub Khan, tetapi Tan Sri Zeti Aziz, bekas Gabenor Bank Negara tidak boleh menjadi kebanggaan atau ikon negara. Di Malaysia ada pihak mendapat begitu banyak duit dan harta, tapi belum mencukupi terutama pemimpin politik yang berkuasa, pegawai tinggi kerajaan termasuk sektor polis dan tentera serta pelbagai pegawai agensi penguatkuasa terlibat dengan rasuah serta salah guna kuasa. Ianya tidak berintegriti dan tidak bermoral.

Mereka ini tidak pernah cukup duit walaupun gaji dan elaun ratusan tibu atau juta ringgit setiap tahun. Berita gembira untuk Melayu Islam dan pribumi di abad 21, di bawah kerajaan Melayu Islam PN apabila ada penjual burger, colek dan peniaga kedai runcit didenda RM50,000 kerana melanggar SOP Covid-19. Riuh cerita ikan bilis dan ikan jerung. Cerita antara dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang termasuk yang melanggar SOP. Apakah Malaysia sudah mengamal undang-undang hukum rimba?

Sebelum ini ada bekas tentera bernama A. Raman Hashim didakwa kerana meneroka tanah haram didenda RM50,000 dan penjara dua tahun demi menyara keluarga, tapi penceroboh tanah haram di Raub, Pahang dengan mengaut hasil durian musang king yang lumayan tidak ada apa-apa tindakan. Hebat Malaysia. Begitu juga kematian Allahyarham Adib Kassim, pegawai Bomba juga tidak terbela sehingga sekarang. Semuanya cerita sedih, memilukan dan geram yang amat sangat.

Akhir kalam, warkah ulangtahun kedua Presiden Parti Putra adalah bertujuan meluahkan isi hati yang benar-benar tulus ikhlas semoga pemimpin Putra semua peringkat jangan mengulangi sikap dan perangai buruk yang diperlakukan oleh golongan yang saya cuba hurai secara terbatas ini. Jangan jadi pemimpin yang berkokok, tapi punggung penuh dengan tahi. Kata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih. Pemimpin yang tidak malu dengan sifat hipokrit dan munafik.

Semua kegagalan dan kejadian buruk yang menimpa ke atas orang Melayu Islam dan pribumi serta rakyat dan negara adalah akibat daripada hilangnya semangat political will, bersifat jujur, bersih dan bermoral di kalangan kepimpinan Melayu pribumi dan parti-parti Melayu Islam yang menghadapi sakit tua, hilang roh perjuangan hakiki serta mengejar pangkat dan harta yang tidak pernah cukup. Kepimpinan yang hilang barakah dan syafaat dari Allah. Inilah hakikatnya. Rakyat menanggung derita dan negara makin parah dan hilang maruah serta terhina di peringkat antarabangsa.

Maka, sempena ulangtahun ke-2 parti Putra pada 8 Mei 2021, bagi pihak pimpinan Putra, saya menyeru dan merayu kepada seluruh umat Melayu Islam dan pribumi serta rakyat Malaysia menyokong parti Putra demi kelangsungan dan mengembalikan semula daulat agenda bangsa dan agama serta kehidupan yang bersih, bermoral dan berintegriti.

Kejayaan sesebuah bangsa dan negara akan terlaksana melalui kepimpinan yang tegas dengan political will atau keazaman politik yang bersih dan bermoral. – MalaysiaGazette

Dr. Ibrahim Ali

Presiden Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali

1 Komen

  1. Hidupkan kejayaan semangat menentang Malayan Union. Naikkan cukai tanah milik bukan pribumi. Tengok negara keci DR ratifikasi ICERD tetapi sila Google: Dominican Republic stripped citizens

Comments are closed.