David Rowley. Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC tidak dinafikan penjaga gol Penang FC Samuel Somerville yang menganggap pasukan itu mampu menghukum lawan pada minit-minit akhir perlawanan, menjelang pertembungan kedua-dua pasukan tersebut dalam saingan Liga Super malam esok.

Perlawanan itu merupakan pertemuan kedua Penang FC dan JDT selepas mereka bertembung pada Mac lepas dalam aksi kedua Liga Super yang menyaksikan kemenangan 2-0 berpihak kepada skuad Harimau Selatan.

JDT menghasilkan dua jaringan tersebut pada minit-minit akhir perlawanan sekali gus melenyapkan peluang Harimau Kumbang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu yang baru pulih daripada kecederaan, berharap pasukannya tidak mengulangi kesilapan sama dan kekal fokus pada pertemuan malam esok.

“Walaupun seminit, kita tidak boleh hilang fokus kerana kita tahu menentang JDT tidak pernah mudah, tetapi saya percaya dengan penyokong-penyokong yang akan hadir ke Stadium Bandaraya esok akan menyuntik lagi semangat pasukan.

“Sekarang Penang FC di tangga keempat liga, dan kita sangat berharap prestasi konsisten ini akan berterusan untuk sekurang-kurangnya terus kekal di kedudukan empat terbaik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Somerville yang diberi kepercayaan untuk beraksi selama 90 minit ketika menentang JDT pada Mac lepas, mengalami kecederaan jari kaki sewaktu pasukannya berdepan Melaka United pada bulan lalu.

Kecederaan itu tidak menjadi penghalang buat Somerville untuk berlatih bersama pasukannya semalam selepas sebulan menjalani proses pemulihan, namun beliau masih belum menerima pelepasan untuk turut diturunkan malam esok.

“Sebenarnya memang agak kecewa kerana sudah sebulan terlepas beberapa perlawanan, tetapi inilah bola sepak dan saya perlu segera sembuh untuk kembali beraksi,” katanya, menambah telah berusaha keras untuk menjaga tahap kecergasan sepanjang fasa pemulihan itu. – MalaysiaGazette