Penjawat awam wanita yang berhibur dalam parti liar dengan berbekalkan dadah bersama rakan-rakannya di sebuah residensi mewah di ibu negara dicekup bersama 12 lagi suspek kenalannya awal pagi tadi.-Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam wanita ditahan ketika sedang berhibur dan mengambil dadah bersama rakan-rakannya dalam parti liar di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Kesemua suspek itu ditahan dalam operasi parti liar oleh Ibu Pejabat Polis Dang Wangi jam 2.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan di sebuah kondominium mewah di Jalan Imbi.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menyerbu dan menjalankan pemeriksaan di kediaman mewah di Jalan Imbi dan menangkap lima lelaki dan lapan wanita tempatan yang sedang berparti liar di dalam bilik.

“Hasil pemeriksaan lanjut di premis itu, polis telah merampas serbuk putih disyaki dadah jenis Ketamin disyaki digunakan untuk berhibur.

“Kesemua suspek, adalah berusia 19 hingga 39 tahun telah dicekup bersama dadah,” katanya dalam kenyataan kejayaan pada hari ini.

Malah, ujian saringan air kencing turut mengesahkan empat suspek lelaki positif dan  Methaphetamine dan Ketamin dan lapan wanita tempatan juga disahkan positif Methaphetamine.

Tambah beliau, salah seorang daripadanya merupakan seorang penjawat awam wanita berusia 33 tahun.

Menurutnya kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan polis.

Mereka Kesemua mereka turut dikenakan kompaun atas kesalahan kawalan pergerakan Akta 342 (Pindaan)(No.5) 2021.

Siasatan awal polis mendapati salah seorang wanita yang menjadi  penganjur parti itu telah menjemput  kenalannya melalui aplikasi WhatsApp untuk hadir dalam parti tersebut.

Mohamad Zainal berkata, wanita berusia 32 tahun itu menempah kondominium tersebut pada 7 Mei lalu melalaui seorang ejen lelaki warga Bangladesh bernama Saiful dengan bayaran sewa RM180 sehari.

“Wanita itu turut membawa empat paket dadah jenis Ketamine yang dibeli pada harga RM400 untuk kegunaan berhibur,” katanya.

Semua mereka direman selama tiga hari sehingga 10 Mei ini di lokap IPD Dang Wangi KL untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette