Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohamad Noor Yusof Ali.

KUANTAN – Kira-kira 200 penduduk Tanah Putih Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dikesan oleh polis kerana meninggalkan kediaman masing-masing 5 Mei lalu.

Mereka ini dicari kerana dibimbangi bergejala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya yang membuat rondaan mendapati rumah kosong dan dikunci.

Anggota polis membuat kawalan pemeriksaan yang ketat di sekatan jalan raya di Tanah Putih, Kuantan

Susulan itu, pihaknya menggesa penduduk yang keluar sebelum PKPD berkuatkuasa memberi kerjasama untuk mengistiharkan taraf kesihatan dan mendapatkan rawatan sekiranya bergejala.

Tegas Mohamad Noor lagi, selebihnya bagi mereka yang tidak bergejala pula dikhendaki hadir ke Dewan Jubli Perak pada 10 Mei untuk melakukan ujian calitan.

Berpanas terik pada bulan Ramadan tidak menghalang anggota barisan hadapan membuat kawalan 24 jam di Tanah Putih, Kuantan.

“Statistik yang tepat tidak ada, tetapi kita membuat tinjauan dan berdasarkan maklumat, ada dalam 160, barangkali 200 penduduk yang keluar awal sebelum PKPD.

“Kita cuba mengesan di mana mereka berada, jika didapati dia bergejala, maka itu boleh diambil tindakan.

“Maka tolong laksanakan seruan, mainkan peranan dan tanggungjawab untuk buat swab test pada 10 Mei 2021 di Dewan Jubli Perak demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.” ujarnya kepada MalaysiaGazette semasa tinjauan di Tanah Putih petang tadi.

Ujarnya pihak polis dan Majlis Keselamatan Negara menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) boleh mengeluarkan kompaun ke atas individu yang gagal mematuhi arahan untuk membuat ujian saringan dibawah Perkara 11(5) Akta 342.

ARTIKEL BERKAITAN :

Polis kawal ketat Tanah Putih

PKPD Taman Guru, Kuantan dan 2 kampung di Sarawak

Dalam pada itu, penduduk yang terlibat proses vaksinasi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang tinggal di kawasan PKPD dinasihatkan untuk kekal berada di rumah kerana dikhuatiri berisiko jika ke Pusat Penerimaan Vaksin.

Justeru, Mohamad Noor berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengaturkan tempat untuk menjalankan proses vaksinasi kepada golongan yang terlibat PKPD di lokaliti mereka.

PKPD di Tanah Putih diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkuatkuasa 5 Mei sehingga 18 Mei 2021 berikutan kes Kluster Tanah Putih meningkat mendadak.

Sehingga hari ini dilaporkan sebanyak 57 kes positif Covid-19 dan dua rekod kes kematian daripada kawasan tersebut. – MalaysiaGazette.

Video Berkaitan