Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat dan berkesan perlu dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta merta.

Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berpandangan, PKP yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu disemak semula.

Beliau berkata, pendekatan itu diperlukan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 serta melandaikan lengkuk penularan.

“Perkara ini harus dilakukan kerana keselamatan dan nyawa rakyat perlu didahulukan.

“Malah, masyarakat wajar bersedia berkorban menghadapi musibah serta kesukaran kecil demi mengelak bencana lebih besar.

“Saya mendengar taklimat situasi semasa dan unjuran kes positif Covid-19 diberikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah petang semalam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

PKP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikuatkuasakan selama dua minggu mulai semalam sehingga 20 Mei ini.

Arahan itu turut menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) membabitkan operasi perniagaan di sekitar ibu kota, termasuk waktu operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

Pada masa sama, Annuar turut meneliti isi kandungan surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan kepada pengarah hospital yang diedar berhubung persiapan meningkatkan keupayaan hospital dan memerhati situasi serta laporan pematuhan di lapangan sekitar Kuala Lumpur terutama rekod daripada sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE), selain mengambil kira kemungkinan suasana kemuncak akhir Ramadan dan awal Syawal.

Katanya, semua situasi itu menjurus ke arah penularan Covid-19 secara besar-besaran dan bakal mengancam tahap kapasiti hospital di Wilayah Persekutuan.

“Saya berpandangan PKP lebih ketat dan berkesan diperlukan serta-merta. Insya-Allah, esok saya akan sertai mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MKN Khas untuk membincangkan secara terperinci dan mendoakan pandangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut disokong kawan-kawan lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette