Sekatan Jalan Raya yang dibuka di Lebuh Raya Persekutuan di Petaling Jaya hari ini

PETALING JAYA – Dua lagi lokasi sekatan jalan raya dibuka di Petaling Jaya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 17 Mei yang melibatkan enam daerah di Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dua sekatan jalan raya tambahan itu adalah di Lebuhraya Persekutuan bermula 4 petang tadi  dan Sekatan Jalan Raya Taman Kannagapuram (di bawah Lebuhraya Pantai Baharu (NPE)) bermula Ahad jam 12.01 tengah malam ini.

Menerusi kenyataan media di sini hari ini, beliau berkata, lokasi empat sekatan jalan raya (SJR) yang sedia ada dilaksanakan adalah di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang.

SJR ini sejajar dengan arahan Majlis Keselamatan Negara iaitu melarang mana-mana aktiviti rentas daerah atau negeri dikawasan yang dilaksanakan PKP.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar terus sentiasa duduk di rumah jika tiada keperluan yang mendesak supaya jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Selain itu, polis juga mengharapkan kerjasama erat daripada semua lapisan masyarkat agar sentiasa mematuhi  SOP supaya penularan wabak Covid-19 dapat segera diputuskan,” tegasnya.- MalaysiaGazette