Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah mengadakan sembilan Sekatan Jalan Raya (SJR) di ibu negara sejak 7 pagi hari ini sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, tindakan itu menyusul berikutan saranan dari Menteri Wilayah Persekutuan dan Ketua Polis Negara yang masing-masing menyarankan agar pelaksanaan PKP 3.0 dijalankan secara lebih ketat.

“Pagi ini, mesyuarat Penyelarasan Kumpulan Kerja Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diadakan dan dipengerusikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

“Mesyuarat yang turut dihadiri oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam Negeri (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) adalah bertujuan untuk menyelaras pelaksanaan penugasan khasnya Sekatan Jalan Raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Bermula jam 7 pagi tadi, sebanyak sembilan SJR telahpun didirikan di ibu negara iaitu di Jalan Sentul Pasar, Hadapan Balai Polis Kepong, Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati, Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa, Lebuhraya Bukit Jalil, Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan Jalan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lei Choo menambah selain SJR tersebut, pihaknya juga mempertingkatkan pemantauan oleh team pematuhan dan rondaan oleh MPV/ URB bagi memastikan penguatkuasaan PKP di Kuala Lumpur adalah secara komprehensif.

Beliau menyarankan orang ramai untuk mematuhi segala arahan dan SOP PKP 3.0 serta memberikan kerjasama kepada pihak Polis supaya kita dapat bersama-sama mendatarkan lengkuk penularan wabak COVID-19.

“Selain itu, pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pergerakan dan hanya berbuat demikian jika perlu demi kesihatan diri dan keluarga masing-masing serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Annuar mahu PKP di KL lebih ketat