JDT - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketua pasukan Perak FC Mohd Shahrul Mohd Saad dan penyerang utama Guilherme de Paula sah menyertai juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk baki saingan musim ini.

Kedua-dua pemain itu diumumkan sebagai pemain terbaru skuad Harimau Selatan dalam satu hantaran di laman Twitter rasmi @OfficialJohor hari ini.

Mereka merupakan dua pemain pertama ditandatangani JDT pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) bermula Isnin lepas dan dijadualkan berakhir pada 29 Mei ini.

Kehadiran de Paula, 34, yang juga pemain naturalisasi negara akan menambah pilihan di bahagian jentera serangan pasukan itu di mana posisi penyerang kini digalas pemain import dari Brazil Bergson da Silva selain pemain kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad.

Pengumuman itu juga sekali gus menamatkan desas-desus mengenai Mohd Shahrul, 27, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Sri Pahang FC sebelum ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC Rizal Ali Naizali mengesahkan kedua-dua pemain itu telah menghantar surat rasmi untuk meninggalkan pasukan berkenaan.

Dalam surat tersebut, Mohd Shahrul dan De Paula memaklumkan hasrat mencari nafas baharu untuk baki saingan musim ini termasuk Piala Malaysia.

JDT kini unggul di persada Liga Super dengan mengumpul 27 mata selepas 12 perlawanan dan bakal menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dijangka bermula  bulan depan. – MalaysiaGazette