Pengerusi TNB, Datuk' Seri Mahdzir Khalid (tengah); Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din (kanan) dan Chief Financial Officer, Nazmi Othman (kiri) melihat Laporan Tahunan Bersepadu TNB yang bertemakan 'Energising a Sustainable Tomorrow' semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 di Ibu Pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal teguh dalam usahanya meneruskan pelaburan terhadap peralihan tenaga bagi menyokong usaha kerajaan membina semula ekonomi yang terkesan akibat Covid-19.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah-langkah yang dilakukan kerajaan serta pelancaran program vaksinasi telah memberi satu petanda optimis ekonomi negara akan kembali rancak berbanding tahun 2020.

Ia seterusnya meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“TNB juga menyasarkan untuk mempertingkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan, dalam masa yang sama mempromosikan penggunaan tenaga mampan untuk mengimbangi kemampuan dan keselamatan sistem grid,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 TNB di Ibu Pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat itu dilakukan secara dalam talian bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pemegang saham terjamin berikutan pandemik Covid-19 yang masih berleluasa.

Turut hadir pada mesyuarat ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, ahli Lembaga Pengarah yang lain serta pengurusan tertinggi TNB.

Mahdzir berkata, sejajar dengan penguncupan KDNK, permintaan dan jualan elektrik di Semenanjung turut menyusut pada tahun lalu.

Bagaimanapun, prestasi kumpulan kekal kukuh untuk memenuhi polisi pembayaran dividen antara 30 peratus hingga 60 peratus berdasarkan Pelarasan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI).

Selain pemberian dividen 22 sen sesaham, Lembaga Pengarah TNB juga meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 18 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 40 sen sesaham.

Ini menjadikan jumlah dividen sebanyak 80 sen sesaham dengan jumlah bayaran RM4.56 bilion, katanya.- MalaysiaGazette