Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah maut selepas motosikal yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan di Kampung Kuala Samak dekat Baling, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian pada 3.28 petang itu, pelajar berusia 16 tahun dan seorang lagi berumur 15 tahun merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Pegang, maut di tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dipandu seorang wanita berumur 44 tahun sedang dalam pejalanan dari arah Kuala Ketil menghala ke Ceruk Beras bersama suami dan dua anak lelakinya yang berumur 15 dan 10 tahun.

“Sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang pelajar berumur 16 tahun itu yang datang dari arah bertentangan telah hilang kawalan dan terjatuh di laluan bertentangan. Wanita yang memandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak dan terlanggar kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan jenazah telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan sementara kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – MalaysiaGazette