PEKAN – Meskipun hujan, anggota polis dan tentera yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Ubai melakukan pemeriksaan bagi memastikan pengguna jalan raya mempunyai kebenaran merentas daerah dan negeri sahaja dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, langkah itu bertujuan memeriksa kenderaan di samping membantu pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan supaya orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan yang dilaksanakan di Kuantan sejak 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof

Tambahnya, biar hujan atau panas terik, anggota pasukan yang tetap komited melakukan kawalan pemeriksaan 24 jam supaya tidak terlepas pandang daripada insiden yang tidak diingini.

Selain itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati khemah SJR turut dihadiri penduduk kampung yang memberi sokongan kepada barisan hadapan dengan menyumbangkan juadah berbuka seperti air mineral dan kuih raya.

“Kita tidak boleh buka road block, walaupun hujan, Polis Diraja Malaysia tetap periksa setiap kenderaan yang melalui dua SJR di Pekan ini sama ada di Kilometer 30 Jalan Kuantan – Pekan atau di Jalan Tanjung Selangor.

“Pengobanan anggota untuk memastikan keselamatan masyarakat daripada merabaknya wabak Covid-19 harus dihargai, jadi masyarakat perlu patuh SOP dan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

“Persiapan PKP di Pekan bermula malam ini tapi untuk SJR membantu IPD Kuantan bermula perlaksaan PKP Kuantan sejak 10 Mei lalu dengan kekuatan anggota 16 orang terdiri daripada PDRM, RELA dan APM.

“Sejak semalam, pihak polis sudah menerima 375 permohonan rentas daerah dan negeri manakala pagi ini sahaja 151 permohonan dengan alasan bekerja dan pasangan jarak jauh.

“Daripada jumlah itu, 80 peratus permohonan diluluskan manakala sejumlah 300 hingga 400 kenderaan melalui SJR manakala 12 kenderaan diarahkan berpatah balik tanpa dikompaun,” kata Mohd Razli.

Anggota keselamatan terdiri daripada anggota RELA dan APM turut bertugas di SJR Ubai

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette semasa pemantauan SJR di Ubai dan beliau sendiri turut melakukan pemeriksan kepada kenderaan yang meredah laluan ke Pekan.

Tambahnya, pengguna jalan raya diarah berpatah balik apabila pihak berkuasa berjaya mengesan mereka menggunakan borang rentas negeri yang lama alasan tidak meyakinkan.

“Orang ramai kena memahami alasan rentas daerah hanya dibenarkan untuk kecemasan, kematian, pasangan jarak jauh, jadi jangan salah guna dan jika tidak, tidakan kompaun dikeluarkan.

“Bermula tempoh dari 18 Mac hingga kini, 26 kompaun dikeluarkan terdiri 11 premis dan 15 orang awam tidak mematuhi SOP seperti tidak mendaftar MySejahtera dan tiada jarak fizikal.

“Jangan keluar kalau tidak ada hal mustahak dan patuhi SOP, jika PKP meletakkan syarat jika tiga orang sahaja dalam kenderaan maka patuhi.”- MalaysiaGazette.