Sempena lebaran kali ini, Perodua kembali dengan iklan mencuit hati berjudul ‘Baju Siapa’.

Bertemakan keindahan silaturahim, pengeluar kereta terlaris di Malaysia ini berusaha menyelami makna di sebalik kesungguhan berbudi pada insan selain daripada keluarga atau sanak-saudara.

Ia berkisar tentang Kedai Dobi d’Cuci, sebuah dobi keluarga yang bukan hanya mengenali rapat setiap pelanggan, malah komited dan prihatin dalam menyampaikan khidmat terbaik – sekaligus mencerminkan nilai-nilai Perodua #WeGoBeyond.

Jalan cerita filem ini disampaikan oleh Salmah, anak kepada pasangan pengusaha Kedai Dobi d’Cuci. Ketiga-tiga watak ini digambarkan sibuk menyiapkan cucian pelanggan. Namun apabila menyedari bahawa terdapat sepasang pakaian yang tidak dituntut, di sinilah terlihatnya dedikasi mereka. Di penghujung filem, penonton akan mengetahui cerita sebenar di sebalik ‘Baju Siapa’.

Bagi menonjolkan kelainan sambil menepati SOP penggambaran, idea untuk menampilkan dobi kejiranan merupakan pilihan strategik. Ini kerana ia mempunyai keindahan warna dan tekstur menarik, selain tanggapan bahawa pengiklan-pengiklan lain mungkin akan menumpukan jalan cerita iklan mereka berdasarkan latar rumah, keluarga mahupun kota.

Dengan muzik latar diinspirasikan daripada zaman 1970-80an, ‘Baju Siapa’ turut mendapat sentuhan penataan vokal dan bunyi-bunyian unik, seperti bunyi putaran mesin basuh sebagai perkusi.

Filem ini dilihat tampil pada waktu yang tepat di kala kebanyakan daripada kita akan berjauhan daripada kampung halaman. ‘Baju Siapa’ mengingatkan penonton bahawa jiran tetangga seumpama keluarga terdekat, dan ingin mengajak semua meneladani sikap berbudi tanpa berkira masa dan tenaga demi berkongsi keriangan.

Hasil kolaborasi antara Spin Communications dan Passion Multimedia Sdn Bhd, ‘Baju Siapa’ boleh ditonton di semua laman media sosial Perodua dengan tayangan berdurasi 90 saat di stesen-stesen TV utama bermula 13 Mei 2021.

Jom saksikan cerita Raya #BajuSiapa