Datuk Razarudin Husain. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 20201.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan dua percubaan menyeludup dadah ke Indonesia malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dua lelaki ditahan di Melaka manakala seorang lagi ditangkap di Muar.

Menurut beliau, pengedar dadah ini sentiasa mencari peluang menyeludup dadah menggunakan pelbagai kaedah baharu bagi  mengkaburi mata pihak berkuasa.

“Semalam sahaja di Melaka pihak JSJN menangkap dua lelaki yang datang dari Johor yang mencuba seludup dadah jenis syabu seberat 100.4 kilogram.

“Pengedar ini mengambil peluang untuk mengedar dadah ke negara jiran di Indonesia pada malam raya.

“Manakala di Muar, PPM berjaya tangkap seorang lelaki dan rampas 84 kilogram syabu,” katanya di SJR Lebuh Sentosa lebuhraya Maju Ekspres hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Putrajaya,Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali.

Sementara itu, Razarudin berkata, lawatan beliau bertujuan memberi semangat kepada anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di SJR terutama pada hari pertama Syawal.

Ujar Razarudin, empat SJR di sekitar Putrajaya sudah memadai untuk memantau pergerakan rentas kerana penduduk di pusat pentadbiran kerajaan itu mempunyai tahap pematuhan yang tinggi.

Sehingga pukul 12 tengah malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya memeriksa 1,020 kenderaan dan 30 buah kereta diarah berpatah balik kerana pemandunya tidak mempunyai surat kebenaran rentas daerah. – MalaysiaGazette