Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani . Foto MOHD ADZLAN.

SUBANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemaskini sistem permohonan merentas negeri yang dilaksanakan pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah itu diambil bagi mengelak pemalsuan dokumen kebenaran rentas yang sering dilakukan sebelum ini.

“Tindakan pemalsuan dokumen yang kita kesan dalam beberapa insiden terbaharu memang kita tidak dapat dielakkan sebab orang ramai ini cuba mencari jalan untuk mengatasi sistem sedia ada.

“Kita sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki sistem sedia ada permohonan merentas negeri ini.

“Namun ia masih tidak dapat menghalang daripada orang ramai yang berusaha melanggar sistem itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Sekatan Jalan Raya (SJR) USJ Subang Jaya tengah malam tadi.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.

Tambah beliau, perbuatan memalsukan dokumen untuk merentas negeri semasa PKP 3.0 sudah menjadi lumrah hidup mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

“Bagaimanapun kita akan sentiasa berusaha untuk menambahbaik sistem sedia ada ini,” ujarnya.

Sementara itu, Acryl memberitahu, sebanyak 2,370 permohonan rentas negeri yang ditolak pada hari pertama pelaksanaan PKP pada 12 Mei lalu.

Beliau yang mengulas mengenai kesesakan jalan raya di beberapa jalan utama di Lembah Klang berkata, kesesakan  beberapa kilometer di Tol Gombak menghala ke Pantai Timur dikesan berlaku sejak beberapa hari lalu.

Ujarnya, ini kerana pemeriksaan rapi yang dilaksanakan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Apabila kenderaan sampai di sekatan jalan raya di tol, kita memeriksa mereka dengan teliti satu persatu dan ia memang tak dapat dielakkan kesesakan berlaku ketika itu dengan beratur panjang.

“Sebenarnya bilangan kenderaan yang melalui lebuh raya Pantai Timur dan beberapa SJR dikenalpasti memang berkurangan.

“Apabila kita dah tahan mereka, itulah yang nampak sesak panjang, itu umpanya, ia tidak menggambarkan suasana bilangan kenderaan meningkat di tol, tidak sebegitu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast