Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe memberi peringantan kepada tuan rumah dan tetamu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melakukan ziarah Aidilfitri ketika mengadakan pemantauan SOP susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Rawang Perdana, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2021.

RAWANG – Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan kepada tuan rumah dan tetamu kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua buah rumah yang dikenakan kompaun itu membabitkan Kampung Kenanga dan Rawang Perdana.

“Di rumah pertama tadi kita telah kompaun seramai tiga orang iaitu tuan rumah dan dua tetamu dan tidak jauh dari lokasi pertama kita kemudiannya pergi ke Rawang Perdana dan mendapati sebuah rumah telah menerima kunjungan tetamu.

“Seramai tujuh tetamu dari pelbagai kawasan telah datang ke sini dan kita telah kompaun termasuk tuan rumah. Jumlah kesemuanya adalah 10 kompaun dengan setiap kompaun bernilai RM2,000.

“Kompaun yang dikeluarkan adalah RM2,000 dan bukanlah RM25,000 seperti yang tular di media sosial,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan operasi pemantauan SOP Aidilfitri di sini hari ini.

Anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melakukan ziarah Aidilfitri ketika mengadakan pemantauan SOP susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kampung Kenanga, Rawang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2021.

Selain Rawang, operasi pemantauan selama tiga jam itu turut membabitkan kawasan Kampung Sungai Pusu dan Sri Gombak.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, tuan rumah telah memberi alasan tentang kekeliruan mengenai pengumuman SOP Aidilfitri yang dibuat baru-baru ini.

“Tadi ketika ditanya, katanya keliru dengan SOP Aidilfitri sebab itu ada yang datang menziarahi untuk beraya.

“Tetamu ada yang datang dari Ulu Yam, Country Homes serta beberapa kawasan lain,” ujarnya.

Sementara itu, Arifai berkata, secara keseluruhan berdasarkan pemantauan yang dilakukan, pematuhan SOP di kalangan warga Gombak adalah memuaskan.

Arifai Tarawe menasihati seorang penduduk agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak melakukan ziarah Aidilfitri ketika mengadakan pemantauan SOP susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2021.

“Keseluruhan yang kita dapat lihat tadi dalam beberapa jam pemantauan, pematuhan secara keseluruhan agak memuaskan kerana kebanyakan masyarakat di bawah pentadbiran IPD Gombak ini mematuhi SOP Aidilfitri kerana tidak melakukan ziarah rumah ke rumah.

“Saya juga ingin tegaskan pihak polis sentiasa jalankan operasi untuk memantau SOP ketika musim perayaan ini seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Tidak perlu membuat sebarang kunjungan kerana dikhuatiri virus ini akan berjangkit atau merebak.

“Jadi kepada orang ramai saya mohon sekiranya ada sebarang maklumat mengenai pelanggaran SOP Aidilfitri sama ada ziarah-menziarahi, jamuan raya atau ziarah tanah perkuburan boleh majukan aduan ke Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast