Antara barang-barang yang dirampas susulan kes rusuhan di Batu Pahat.

JOHOR BAHRU – Seramai 20 lagi individu berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis Johor ekoran merusuh, membakar suar dan menaikan kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ yang tular sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka dicekup dalam operasi khas jam 11 malam tadi.

Kesemua mereka telah direman selama empat hari hingga 17 Mei ini.

“Dalam operasi itu kita telah dapat menangkap kesemua mereka yang terlibat dalam insiden itu di kawasan sekitar Batu Pahat.

”Mereka juga merupakan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di kediaman rasmi Ketua Polis Johor di sini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Sekyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan

Polis Johor akan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk sama ada insiden berkenaan melibatkan mana-mana aktivis badan bukan kerajaan (NGO) di Johor, tegasnya.

Selain melakukan kesalahan-kesalahan di atas, kejadian itu juga jelas menunjukan kesemua mereka yang terlibat telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Ini merupakan satu kesalahan yang jelas dan nyata. Mereka ini melanggar arahan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

Kejadian rusuh dan bakar flare di Batu Pahat, Mat Rempit ditahan