KAJANG – Seorang individu warga asing Myanmar ditahan polis selepas dipercayai bertanggungjawab menganjurkan majlis jamuan makan di kedainya, sekali gus  melanggar prosedur operasi standard larangan melawat atau mengadakan majlis makan Aidilfitri beramai-ramai.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ibu pejabat polisnya menerima dua video yang tular pada hari ini yang menunjukkan perlanggaran SOP PKP yang mana sekumpulan orang sedang makan.

Katanya, hasil penelitian ke atas video tersebut polis percaya ianya melibatkan sekumpulan warga asing yang bertindak melanggar SOP PKP dengan membuat jamuan makan.

“Satu pasukan digerakkan untuk mengesan lokasi serta membuat siasatan dan pihak polis berjaya mengesan kejadian tersebut berlaku di dalam kawasan Sungai Sekamat, Kajang.

“Bertindak di atas maklumat tersebut pihak polis telah membuat tangkapan ke atas lelaki yang berada di premis, merupakan warga Myanmar.

“Siasatan awal suspek mengaku telah mengadakan majlis tersebut semalam sempena sambutan Hari raya Aidilfitri pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rentetan penahanan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Sek 269 KK /Per. 17 APPPB (Pindaan 2021) dan Sek 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Pihak polis masih lagi mengesan individu-individu (warga asing) yang hadir ke majlis makan itu seperti mana  video yang tular.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan boleh menghubungi IPD Kajang, atau Pegawai Penyiasat kes Insp Zazali Kenek ditalian 019 2990062.

Terdahulu video berdurasi  satu minit 36 saat itu menunjukkan seorang individu tempatan dipercayai penduduk kampung berkenaan mula menyedari aktiviti jamuan beramai-ramai membabitkan warga asing itu.

Individu disyaki penduduk juga memasuki salah sebuah premis yang mana dihadapan premis berkenaan diparkir lebih 20 buah motosikal dan beberapa kenderaan selain puluhan pasang kasut dan selipar sebagai bukti kehadiran tetamu ramai untuk menjamu raya.

Terdapat beberapa individu warga asing yang dilihat duduk di beberapa meja yang disusun di hadapan rumah itu.

Individu berkenaan masuk ke dalam premis tersebut mendapati salah seorang warga asing membancuh air minuman manakala di dalam kamar asing lebih 20 warga asing duduk bersila dan menikmati jamuan raya dalam keadaan sesak tanpa penjarakan fizikal.

Justeru beberapa warga asing yang duduk di bilik sebelah bertindak cemas dan menutup pintu segera mengelak penduduk berkenaan merakam aktiviti mereka.

Penduduk lelaki itu sempat memarahi kumpulan warga asing itu yang tidak menghormati penduduk kampung berkenaan sewaktu penguatkuasaan PKP.

“You orang semua banyak degil..takde hormat sama orang Malaysia, apasal tutup pintu, buka pintu..orang kasi duduk sini kamu semua hormat orang kampung sini.

“kita orang raya tak boleh pergi melawat rumah saudara kamu semua suka hati sahaja (makan beramai-ramai),” tegur penduduk itu ke arah warga asing yang ramai itu.

Ketika itu ada warga asing yang mula lari meninggalkan tempat itu segera.-MalaysiaGazette