Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah clinical trials National Healthy Research Volunteer Register National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi pegembara yang tiba dari India bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dan juga penumpang yang tiba melalui penerbangan repatriasi pada 11 Mei 2021 daripada 14 hari kepada 21 hari.

Keputusan itu susulan tujuh daripada 132 penumpang yang dibawa balik dari India kelmarin didapati positif Covid-19 dengan kadar positiviti 5.3%.

Mereka yang tiba di negara ini juga dikehendaki menjalani kuarantin wajib ini di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

”Mereka juga perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan Covid-19 mengikut SOP yang ditetapkan.

”Selanjutnya, KKM akan memantau situasi ini, dan akan membuat penilaian risiko untuk segera melihat keperluan memanjangkan tempoh kuarantin dari 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang lain yang akan tiba dari negara India (misalnya rakyat Malaysia).

Sekatan sedia ada bagi penumpang bukan warganegara ke Malaysia dari India masih berkuatkuasa seperti biasa,” tambah beliau dalam satu kenyataan di sini.

Misi HADR ini melibatkan 219 petugas, diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bomba, Airport Fire & Rescue Service (AFRS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Aviation Security (AVSEC), syarikat Follow Me, syarikat UTW Electrical dan syarikat pengangkutan swasta.

Misi bantuan ini membawa pulang rakyat Malaysia dan pasangan serta keluarga mereka dari India yang kini merekodkan jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia.

Misi pada 11 Mei 2021, syarikat penerbangan Malindo telah berlepas ke India dan telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mei 2021 jam 12.53 pagi.

Penerbangan ini membawa pulang 132 orang (64 lelaki dan 68 perempuan) iaitu 117 orang rakyat Malaysia, lapan orang warga Brunei, empat orang warga Denmark, dua orang warga India dan seorang warga Indonesia.

Misi ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RTPCR Covid-19 negatif sahaja.

Noor Hisham berkata, sebaik sahaja mendarat di KLIA, penumpang-penumpang ini telah dibawa melalui laluan khas ke Air Disaster Unit (ADU) KLIA untuk menjalani saringan kesihatan dan didapati tiada penumpang yang mengalami gejala, namun mereka telah diambil swab untuk ujian pengesanan RT-PCR Covid-19.

” Keputusan ujian yang diperolehi pada 13 Mei 2021 menunjukkan tujuh daripada 132 penumpang telah dikesan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 5.3%,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan semua rakyat Malaysia memberi kerjasama dalam mengekang kemasukan varian baharu dari India iaitu varian B.1.617.

Varian ini dilaporkan lebih cepat menular danmenyebabkan gejala yang lebih serius termasuk dalam kalangan yang berusia di bawah 50 tahun. – MalaysiaGazette