KUALA LUMPUR – Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) akan tetap memastikan persediaan pasukan kebangsaan akan lebih mantap dan berkesan meskipun gabungan itu telah keluar dari Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Presidennya, Zuraidin Abdullah berkata, ia akan melibatkan pemilihan pemain yang lebih telus dan menyeluruh, pelantikan jurulatih-jurulatih yang berwibawa, program latihan dan pendedahan yang lebih berkualiti, penyediaan kemudahan yang lengkap serta penggunaan khidmat sokongan sains dan perubatan sukan yang terkini yang disediakan oleh Institut Sukan Negara (ISN).
Menurutnya, bagi memastikan penyediaan lebih ramai pemain-pemain yang berbakat dan berpotensi, program pembangunan atlet yang menyeluruh di semua peringkat
akan dilaksanakan.
“Kerjasama dengan pemegang-pemegang taruh utama seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri, Kementerian Pendidikan melalui Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan negeri, persatuan sepak takraw negeri serta pihak berkuasa tempatan, akan kita wujudkan supaya semua pihak dapat turut menyumbang ke arah mencapai matlamat tersebut.
“Satu program peringkat nasional akan kita laksanakan dengan menubuhkan
pusat-pusat latihan atlet berbakat di seluruh negara yang akan menyediakan
kepakaran jurulatih dan kemudahan latihan sepanjang tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Zuraidin mendakwa, wujud kelemahan-kelemahan ketara yang menjadi penyebab pihaknya hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PSM terutama Presiden, Datuk Seri Ahmad Ismail sehingga mengakibatkan empat buat persatuan sepak takraw menarik diri sebagai ahli gabungan.
Katanya, mereka percaya akan ada lagi negeri-negeri lain yang akan mengikuti jejak langkah seperti itu.
Jelasnya, setelah berbincang bersama dengan beberapa persatuan mereka mencapai kata sepakat mahu berusaha sedaya upaya untuk membangunkan semula sukan sepak takraw dalam mengembalikan Malaysia sebagai kuasa utama sepak takraw di dunia.
Mengulas lanjut beliau berkata, program mengenal pasti bakat baharu yang lebih saintifik dan sistematik akan diperkenalkan agar pemain-pemain muda yang dipilih kelak benar-benar berbakat dan berpotensi.
Ujarnya, bagi memastikan kualiti latihan di semua peringkat, program kejurulatihan juga akan dipertingkatkan dimana silibus dan kurikulum kejurulatihan akan dikaji semula
dalam memastikan ia menggunakan teknologi terkini dalam menyediakan latihan yang lebih berkualiti.
Pengelolaan kursus akan dipertingkatkan dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai jurulatih yang berkelayakan di semua peringkat, katanya.
Tambah beliau, program untuk melahirkan pengadil-pengadil dan pegawai teknikal yang berkelayakan juga akan dipertingkatkan bagi memastikan bilangan pengadil dan pegawai teknikal yang mencukupi untuk mengendalikan berbagai pertandingan di semua peringkat.
“Sistem pertandingan di semua peringkat juga akan turut diberikan tumpuan
utama. Ianya amat penting untuk memberikan pendedahan yang mencukupi
kepada pemain-pemain.
“Selain daripada itu, pertandingan bertaraf antarabangsa juga akan dihidupkan semula supaya pemain-pemain negara dapat menerima pendedahan terbaik di samping ianya juga akan digunakan oleh jurulatih dalam menilai keberkesanan program latihan masing-masing.
“Pemain-pemain juga akan dihantar untuk menyertai berbagai kejohanan antarabangsa yang dikelolakan oleh negara lain,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi memastikan sukan itu terus popular di kalangan rakyat, program-program promosi juga akan diberikan keutamaan.
Kerjasama akan dijalin dengan berbagai pihak terutama pihak media dalam melaksanakan program dan aktiviti yang boleh melibatkan penyertaan ramai, jelasnya.
Tambahnya, perbincangan akan dilakukan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar sukan sepak takraw ini dapat diterima semula sebagai sukan teras dan dalam pada masa sama peranan lebih aktif diambil bagi memastikan kejayaan program itu kelak. – MalaysiaGazette