Gambar hiasan

Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, didorong oleh  peningkatan data eksport.

Pemilik dan Pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata ia berdasarkan data firma penyelidik kargo Intertek Testing Services yang menunjukkan eksport Malaysia untuk tempoh 1 hingga 10 Mei meningkat 29.63 peratus kepada 447,225 tan dari 345,010 tan dalam tempoh yang sama pada April, 2021.

Selain itu, penyelidik kargo, Amspec Malaysia turut  menyatakan bahawa eksport dalam tempoh 1 hingga 10 Mei meningkat 36.85 peratus kepada 469,875 tan daripada 343,356 tan pada April, 2021.

“Dagangan minggu depan akan berdasarkan kepada data eksport Malaysia bagi tempoh 1 hingga 15 Mei yang dijangka lebih tinggi tetapi pada kadar perlahan daripada data pada 1 hingga 10 Mei,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berpendapat bahawa niaga hadapan MSM diunjurkan diniagakan cenderung ke arah peningkatan berikutan pretasi ukuh di pasaran minyak kacang soya Chicago

Dalam perkembangan lain, Kenanga Research menjangkakan pertumbuhan pengeluaran Mei meningkat sebanyak 4.6 peratus bulan ke bulan ketika Sabah dan Sarawak meneruskan pertumbuhan trajektori dan eksport mereka melonjak kepada 19.6 peratus bulan ke bulan menjelang musim perayaan Aidilfitri dan aktiviti pengumpulan yang berpotensi berlaku di China dan India.

“Kami menjangkakan jumlah permintaan mengatasi jumlah penawaran, membawa kepada pengurangan stok sebanyak 1.46 juta tan bersamaan dengan penurunan 5.6 peratus bulan ke bulan,” katanya.

MSM diniagakan selama tiga hari sahaja pada minggu singkat susulan cuti sempena perayaan Aidilfitri.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup mulai tengah hari pada Rabu (12 Mei) hingga 16 Mei, dan sesi dagangan akan disambung semula pada hari Isnin, 17 Mei.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran niaga hadapan MSM Malaysia diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali bulan Mei 2021 merosot RM83 kepada RM4,800 setan metrik, Jun 2021 melonjak RM79 kepada RM4,506 setan metrik dan Ogos 2021 bertambah RM68 kepada RM4,285 setan metrik.

Dengan sesi dagangan selama tiga hari, jumlah dagangan mingguan turun kepada 156,560 lot daripada 281,343 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 228,824 kontrak daripada 277,416 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga fizikal MSM lebih rendah sebanyak RM10 hingga RM4,820 satu tan. – MalaysiaGazette