Foto hiasan

SEREMBAN – Kadar penginapan untuk hotel berbintang di Malaysia hanya mencapai purata 30.9 peratus pada tahun lalu berikutan impak teruk daripada COVID-19.

Orintal Online melaporkan, selain kadar penginapan yang tidak memberangsangkan, sebanyak 35 hotel juga tewas dan gulung tikar ketika berdepan cabaran wabak penyakit.

Menurut satu laporan yang dibentangkan Persatuan Hotel Malaysia dalam satu majlis di Port Dickson baru-baru ini, kadar penginapan purata untuk 2019 merupakan 58.8 peratus, tetapi ia menjunam kepada 30.9 peratus pada 2020.

Dari segi jumlah penginap hotel pula, jumlahnya menurun daripada 79.98 juta orang pada 2019 kepada 35.4 juta orang pada tahun berikutnya.

Jumlah hotel berbintang di Malaysia adalah sebanyak 5,374 buah pada 2019 dan angka itu menyusut kepada 5,339 pada tahun lalu, menandakan berlaku 35 penutupan dalam tempoh setahun.

Walaupun hanya separuh daripada jumlah ahli Persatuan Hotel Malaysia menyertai kajian dalam laporan tersebut, tetapi laporan itu tetap melambangkan masa sukar yang dihadapi pengusaha hotel.

Setiausaha Persatuan Hotel Negeri Sembilan, Andy Chong berkata, lebih banyak hotel dijangka sukar bertahan dalam keadaan larangan rentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan untuk membendung wabak.

Jelasnya, kadar penginapan hotel pernah meningkat ke sekitar 35 peratus pada Ogos dan September lalu apabila aktiviti pelancongan domestik dibenarkan pada Julai.

Katanya, kadar penginapan malahan pernah mencecah 50 peratus pada Disember 2020 dan Januari 2021, tetapi ia telah menurun semula berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette