Jagdeep (kanan) mengadakan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Bagan Ajam, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Kerajaan negeri Pulau Pinang menegaskan premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berdepan tindakan penutupan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, tindakan sedemikian akan diambil bagi memastikan usaha pihaknya dalam menangani penularan wabak Covid-19 di negeri itu mencapai sasaran.

Jagdeep.

Jelas Jagdeep, tindakan penutupan itu bukan sekadar omong kosong memandangkan sebanyak 1,657 premis ditutup di Pulau Pinang sejak 18 Mac tahun lalu.

“Berdasarkan statistik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sudah melakukan 1.86 juta pemeriksaan pematuhan SOP.

“Daripada jumlah itu, 38 premis ditutup di bahagian pulau dan 1,619 di bahagian Prai yang menunjukkan bahawa kita amat tegas dalam mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Bagan Ajam di sini hari ini.

Jagdeep (tengah) ketika mengadakan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Bagan Ajam di sini hari ini.

Sebelum ini, Pasar Awam Bagan Ajam di Jalan Terbilang itu ditutup tiga hari selepas didapati ada jangkitan kes positif Covid-19.

Pasar awam itu dibuka semula pada Ahad lepas selepas proses sanitasi dilakukan, namun bahagian makanan serta penjualan daging khinzir masih ditutup.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, tindakan penutupan premis sejak Mac tahun 2020 itu menunjukkan kerajaan negeri komited dalam menangani Covid-19 merebak dalam kalangan penduduk Pulau Pinang sekali gus mengutamakan kesihatan mereka.

“Kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak yang dilihat gagal mematuhi SOP hingga menyebabkan berlaku penularan Covid-19.

“Sehubungan itu, suka saya ingatkan bahawa kerajaan negeri tidak akan teragak-agak menutup mana-mana premis yang didapati melanggar SOP tambahan pula Pulau Pinang kini zon merah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memberitahu, kerajaan negeri menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan (KKM) yang berhasrat untuk mewujudkan Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas bagi merawat pesakit kritikal di negeri ini.

“Keadaan di negeri ini amat serius apabila tahap kapasiti penggunaan ICU di semua hospital Pulau Pinang sudah pun mencapai 100 peratus.

“Langkah KKM ini begitu baik bagi menangani keadaan sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Field ICU di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang bagi merawat pesakit kritikal.

Jelas beliau, proses pembinaan Field ICU itu adalah sebagai persediaan bagi menampung kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang yang sudah meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu. – MalaysiaGazette