4 nelayan Indonesia disyaki tangkap ikan di perairan negara diberkas APMM di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan empat nelayan warga Indonesia yang disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara, semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, mereka ditahan pada jam 3.30 petang di kedudukan 24.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tidak bernombor itu dikendalikan empat kru seorang tekong berusia antara 21 hingga 33 tahun.

4 lelaki warga Indonesia ditahan kerana menceroboh perairan negara semalam.

“Semakan lanjut juga mendapati  kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Keempat-empat lelaki itu dibawa untuk saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berhubung aktiviti haram di laut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04 262 6146. – MalaysiaGazette