Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua kiri) melawat ruang ICU Medan untuk pesakit kritikal Covid-19 semasa membuat lawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Setapak, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sekurang-kurangnya 30 orang doktor dan 100 paramedik untuk menambah operasi hospital medan.

Justeru Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan meminta kerajaan mempertimbangkan  penambahan tenaga perubatan di ATM bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat hari ini kita kekurangan daripada segi doktor dan paramedik.

“Kita mungkin akan memohon kerajaan tambah lebih banyak doktor dan paramedik sebab yang ada kita mampu untuk keperluan kita sahaja tapi untuk kita tambah lebih banyak lagi hospital medan,  kita takut kita kekurangan di hospital milik tentera sendiri,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini untuk mendengar taklimat berkenaan Kesiapsiagaan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Bagi Menangani Ancaman Wabak Covid-19.

Tambah beliau,  ATM bersedia untuk mengambil doktor dan jururawat secara kontrak untuk perkhidmat di Hospital Medan yang ingin diwujudkan kelak.

“Kalau nak tambah hospital medan kena tambah cepat. Kita bersedia ambil mereka secara kontrak yang penting disegerakan,” tambahnya.

Untuk rekod, hospital medan ditubuhkan bagi merawat pesakit bukan Covid-19.

Terbaharu dua lagi Hospital Medan yang diwujudkan adalah di Kapit Sarawak dan di Pulau Pinang selain di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Tawau dan Pokok Sena sebelum ini.

Hospital Medan Pulau Pinang adalah khusus untuk Unit Rawatan Rapi bagi menampung peningkatan kes-kes kritikal yang semakin mendadak di negeri berkenaan.-MalaysiaGazette