Norman Hakim.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil keterangan semua ahli keluarga pelakon lelaki, Norman Hakim yang didakwa telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Esha berkata, tindakan itu diambil setelah pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan pelanggaran SOP tersebut.

Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah mengesan satu gambar keluarga selebriti yang tular di laman sosial dan portal hari ini.

“Gambar berkenaan menunjukkan sambutan hari raya bersama seisi keluarga yang disyaki tidak tinggal sebumbung di kediaman selebriti terbabit yang terletak di Hulu Klang, Ampang, Selangor.

“Terdapat lebih kurang 13 individu disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.

“Majlis tersebut dijalankan tanpa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara iaitu ziarah hari raya dan aktiviti berkenaan adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Farouk berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan polis akan memanggil semua yang terlibat untuk memberikan keterangan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Dalam pada itu, beliau berkata, bermula Januari tahun ini sehingga semalam sebanyak 599 kompaun telah dikeluarkan dengan sejumlah 16 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan melanggar perintah dan syarat SOP.

“Pihak polis meminta orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan. Saya juga ingin menyeru orang ramai supaya mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan  pelakon, Norman Hakim memuat naik gambar seisi keluarga bersama bekas isteri telah mengundang persoalan netizen tentang SOP kerajaan yang tidak membenarkan sesi ziarah ketika Aidilfitri.

Berdasarkan satu hantaran foto pelakon itu dalam Instagramnya, kelihatan Norman bersama isteri, Memey Suhaiza dan anak-anak bergambar bersama keluarga bekas isterinya iaitu penyanyi dan juga pelakon, Abby Abadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BEKAITAN:

SOP: Norman, Abby tinggal sekali ke?