KUALA LUMPUR – Tujuh lelaki dicekup polis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemberian pinjaman tanpa lesen menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Ramal, Shah Alam semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor pada pukul 11.05 pagi.

“Hasil serbuan yang dijalankan polis berjaya merampas 15 buah telefon bimbit, lima buah kereta, kad bank, sim kad, komputer riba, buku cek serta wang tunai berjumlah RM50,000.

“Hasil semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek telah ditahan mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun
Acara Jenayah sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis.

Katanya, siasatan dijalankan JSJK Selangor di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 atas kesalahan memberi pinjaman wang tanpa lesen, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Arjunaidi turut menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan mana-mana sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Kesan daripada pinjaman tersebut boleh menyebabkan orang ramai menerima ugutan jenayah atau ancaman keselamatan ekoran daripada kegagalan pembayaran hutang.

“Sekiranya ingin membuat pinjaman orang ramai seharusnya menyemak terlebih dahulu status syarikat yang menawarkan pinjaman tersebut melalui aplikasi “i-KrediKom” yang dibina secara in-house oleh KPKT di telefon pintar melalui Google Play Store atau App Store.

“Aplikasi ini berfungsi sebagai medium untuk membolehkan orang ramai mendapatkan informasi berkaitan dengan Kredit Komuniti serta membuat carian sama ada syarikat Kredit Komuniti berlesen atau tidak di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, individu yang pernah menjadi mangsa sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette