Antara warga asing ditahan APMM ketika melakukan aktiviti menunda ikan di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan pemilik bot nelayan tempatan menggajikan warga asing tanpa permit membawa padah selepas 12 lelaki diberkas Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang semalam.

Kesemua warga asing itu ditahan pada jam 10 pagi ketika berada di kedudukan kira-kira 19 batu nautika barat daya Pulau Kendi oleh pegawai dan anggota APMM yang melakukan rondaan Ops Benteng dan Ops Pertiwi.

Antara bot yang disita APMM.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, 12 warga asing itu ditahan bersama tiga bot tempatan ketika dikesan melakukan aktiviti menunda ikan di kawasan tersebut.

Katanya, setiap bot nelayan tempatan itu dikendalikan empat kru dan kesemua nelayan warga asing itu berusia antara 20 hingga 48 tahun.

“Kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal menunjukkan permit kerja daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Mereka dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung sebelum diserah kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Antara nelayan asing diberkas APMM susulan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Abd Razak, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Pengusaha atau pemilik bot dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau MERS 999. – MalaysiaGazetee