Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung terhadap ahli keluarga Neelofa menziarahi selebriti itu pada hari raya pertama telah siap.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu pelanggaran SOP (standard operasi standard) PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Merujuk kepada satu video tular membabitkan seorang selebriti yang didakwa menyambut 1 Syawal bersama-sama keluarganya, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 17 [P. U. (A) 225/21] bagi siasatan dakwaan ziarah raya yang dilakukan oleh ahli keluarga tersebut.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Neelofa bersama sembilan ahli keluarganya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, untuk memberi keterangan kepada polis.

Azmi berkata, sebagaimana yang telah diputuskan oleh kerajaan, sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan dan pergerakan merentas sempadan negeri serta daerah juga tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran SOP diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette