Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (CUEPACS) meminta kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sepenuhnya selama 21 hari di seluruh negara.

Presidennya, Adnan Mat berkata, tempoh 21 hari itu meupakan jangka masa minimum bagi membolehkan langkah drastik dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19.

“Sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan SOP (prosedur operasi standard) semasa bagi mengekang penularan Covid-19, CUEPACS bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu mendengar denyut nadi dan rintihan petugas kesihatan di lapangan yang berdepan cabarannya setiap hari selama 24 jam tanpa rehat.

Menurut Adnan, SOP sedia ada yang dilaksanakan pada PKP 2.0 dan PKP 3.0 tidak begitu berkesan dalam mengurangkan jangkitanvirus itu, malah kes positif semakin meningkat setiap hari.

Malahan katanya, trend peningkatan kes disebabkan terdapat banyak pergerakan yang tidak dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.

“Disamping itu terdapat juga kelemahan masyarakat dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan yang mana SOP juga sentiasa berubah dan tidak seragam sehingga mengelirukan rakyat.

“Lebih mendukacitakan pengumuman pelaksanaan PKPD di kawasan berisiko tinggi diumum lebih awal hingga memberi kesempatan masyarakat keluar daripada kawasan PKPD yang boleh menyebabkan penularan kes berlaku di kawasan luar.

“Pelaksanaan PKP secara penuh seperti 18 Mac 2021 mungkin nampak terseksa kepada rakyat tetapi lebih menyeksakan lagi adalah pelaksanaan PKP ‘sekejap buka sekejap tutup’ yang menyaksikan ekonomi semakin perlahan, pendidikan anak-anak terabai dan kadar pengangguran meningkat,” ujarnya. – MalaysiaGazette