Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cameron Highlands mendakwa wujud percubaan dan usaha daripada para pegawai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) agar jawatan Ketua Pengarah Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak disandang oleh Orang Asli Semenanjung.

Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Prof. Dr Juli Edo, telah menamatkan kontraknya pada bulan April lepas.

Ramli Mohd Nor menegaskan, jawatan Ketua Pengarah JAKOA ini pada dasarnya diberi keutamaan untuk di sandang oleh seorang rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang berkelayakan.

Beliau yang mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan ‘Little Nepolean’ dalam kementerian berkenaan mahu mereka yang terlibat dalam gerakan ini agar lebih menumpukan kepada tugas hakiki mereka sebagai pegawai kerajaan iaitu melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan agar sampai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8 (5) c Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bukan bermain politik.

”Dengan ini juga saya mengingatkan pegawai kerajaan bahawa jelas isi kandungan perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia berkaitan kuota di dalam perkhidmatan Awam Malaysia wajib diberi kepada masyarakat Orang Asli Malaysia yang berkelayakan termasuk jawatan Ketua Pengarah JAKOA,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ramli turut meminta Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap adil dan saksama dalam perlantikan jawatan Ketua Pengarah JAKOA Malaysia bahkan prihatin dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan masyarakat Orang Asli yang masih tertunggak dan ketinggalan jauh dalam perlaksanaan.

Jelasnya, isu-isu teras seperti pembangunan sosio ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengwartaan Tanah Orang Asli/Tanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat Orang Asli masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk Malaysia.

Beliau mahu agensi perlaksanaan JAKOA diperkukuhkan dari segi penstrukturan organisasi agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat.

Dalam kenyataan tersebut, Ramli mahu Parlimen Malaysia bersidang semula dengan prosedur operasi standard yang ketat atau secaca dalam talian supaya isu berkepentingan rakyat dapat dibahas secara telus dan ada semak imbang berlaku atas apa apa keputusan dasar kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette