Karim Benzema.

PARIS – Karim Benzema kembali ke dalam skuad Perancis bagi saingan Euro 2020 oleh Didier Deschamps selepas hampir dipinggirkan kerana dakwaan peras ugut.

Penyerang Real Madrid itu tidak bermain buat Perancis sejak Oktober 2015 namun kini bersedia dibariskan bersama pemenang Piala Dunia, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann bagi Kejohanan Eropah.

“Saya berasa bangga dengan kepulangan ke pasukan Perancis dan kepercayaan diberikan terhadap saya.

“Terima kasih kepada keluarga, rakan, kelab saya… dan kepada semua yang sentiasa menyokong dan memberikan kekuatan kepada saya setiap hari,” tulis pemain berusia 33 tahun di Twitter miliknya.

Benzema yang meledak 27 gol buat Perancis dalam 81 penampilan dipilih selaku pemain terbaik Perancis yang bermain di luar negara oleh persatuan pemain negara berkenaan semalam.

Dia menjaringkan 29 gol buat Real Madrid musim ini, melepasi 20 gol liga dalam semua tiga musim sejak Cristiano Ronaldo meninggalkan Santiago Bernabeu ke Juventus pada 2018. – MalaysiaGazette